Kispen 6: Singkat

Syella Qaseh menyisih rambutnya yang menutup dahi, diselit semula di telinga. Tanggal pula solekan nanti. Sudahlah ditaja. Dahi licin itu mesti ditayang-tayang. Mesti.

Sudah penat Syella meniti permaidani merah. Senyum buat-buat sudah melekat. Sudah mangli begitu. Mudah. Toleh dan biar denyar kamera menampar-nampar wajah.

Ini harga kemasyhuran. Menahan seksa tumit tinggi dan menghidang segenap inci tubuh untuk diratah di ruang koran dan majalah warna-warni. 

Di dalam Gelanggang Bintang-Bintang, Syella Qaseh terlihat dua orang rakan melambai-lambai sambil menuding tempat duduknya.

Lyra Alynna (nama sebenar: Zalina Hasan) dan Hidayatul Khalidah (nama sebenar: Hidayatul Khalidah).

Mudah sekali Syella Qaseh meluru ke arah mereka biar dalam gaun maha sendat. Aneka aroma mewah berbaur saat mereka bertukar pagut cium di pipi.

Di negara itu, memang Gelanggang Bintang-Bintang cukup kesohor menganjurkan segala macam pesta puja puji selebriti.

Dingin. Maklum saja, Gelanggang Bintang-Bintang dibina di celah gunung-ganang.

Kalau tidak pernah sampai ke Amerika pun, bolehlah khayal ibarat menghadiri karpet merah Hollywood. Khabarnya, tahun depan mahu disembur salju buatan.

Namun, dingin itu tidak menghalang Syella Qaseh bergaun singkat. Singkat sekali. Urat-urat hijau di bawah daging paha gebunya jelas kelihatan.

Esok pasti wajahnya di muka depan. Ah, wajah tidak penting. Yang penting paha gebu betis bunting padi Syella Qaseh di muka depan.

Sambil menunggu trofi demi trofi dirangkul julang, ucapan demi ucapan sebakul diulang – Syella Qaseh menarik-narik sedikit hujung gaun.

Bimbang nanti ada paparazzi meluru andai tersingkap. Yang dalam jadi luar. Payahlah. Syella tidak mahu begitu. Dia artis berintegriti. Seksi ada batas.

Dua jam empat puluh tiga minit kemudian, tiba giliran trofi paling agung. Gilang-gemilang. Anugerah Artis Paling Kesohor.

Saat dia tampil ke pentas merangkul julang Anugerah Pelakon Drama Wanita Paling Kesohor dua puluh lapan minit lalu, sorak-sorai bergempita.

Kerana bakat. Kerana peminat. Kerana paha gebu betis bunting padi.

Kali ini dia mahu namanya diumum sekali lagi. Kali ini dia mahu sorak-sorai lebih nyaring.

Tangan Syella Qaseh tiba-tiba basah. Dada menahan degup bertubi-tubi. Reguk liur. Pejam mata. Terasa tangan Lyra Alynna menyentuh tangannya lantas digenggam kuat-kuat.

“Pemenang Anugerah Artis Paling Kesohor 2010 jatuh kepada…”

Syella Qaseh, bisiknya separuh berdoa. Semua wartawan hiburan ramal aku yang menang.

“SY…SYAFA NADRA!!!”

“Dijemput dif kehormat, Datin Seri Mawar Mat Kulop, isteri Menteri Televisyen, Radio dan Internet untuk menyampaikan trofi.”

Pandangan Syella Qaseh kelam. Dia sudah bangkit apabila Azham Aqil menyebut ‘Sy’. Dengan tiba-tiba, Syella Qaseh melihat bintang semakin sarat memenuhi Gelanggang Bintang-Bintang.

Dia kesima. Hampir pitam.

Bukan, bukan kerana nama penyanyi genit itu ditempik sorak. Bukan.

Bahkan dia terpandang Datin Seri Mawar Mat Kulop yang terkernyih di pentas.

Wanita berusia lima puluh enam tahun itu tampil dengan gaun yang lebih singkat darinya.

Advertisements

One thought on “Kispen 6: Singkat”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s