Kispen 9: Langit

Sudah lapan puluh hari begini. Seluruh dunia kontang.

Banyak sekali haiwan bergelimpangan di pinggir lopak bersisa debu dan rekah. Merenung mata masing-masing sambil menghitung detik ajal.

Dedaun, pepohon pun begitu. Ada yang sudah tersembam ke bumi, ada yang masih bertopang akar kering menggelupas. Telanjang menahan bahang matari.

Tiada hujan walau sehari. Walau sedetik. Walau setitis. Seluruh dunia kontang. 

Persatuan Negara-Negara (PNN) telah mengumpulkan semua saintis dan bomoh hujan di seluruh dunia. Buatlah apa sahaja, mintalah apa sahaja – asalkan bumi basah semula.

Turut dikerah puak-puak primitif yang masih tahu tentang tarian hujan – beramai-ramai menari di dataran terbuka. The Ground of Hope.

Sudah puas terkinja-kinja, masih begitu juga. Tiada hujan walau sedetik. Walau setitis. Seluruh dunia kontang.

Hari ini Presiden Thomas Cruise, presiden negara paling berkuasa di dunia – Ahmereka, singgah di The Ground of Hope.

Cruise berucap tentang manusia. Tentang dunia. Tentang harapan. Tentang sabar.

“Ayah, ayah dengar tak?” Tiba-tiba Jackson Cruise bingkas dari kerusi tetamu kehormat yang diatur rapi dan meluru ke arahnya.

Cruise berhenti berucap dan turun dari podium. Dia mencapai Cruise Kecil. Darah dagingnya yang sudah lima tahun itu didukung erat.

“Kenapa, sayang?”

“Saya dengar suara dari langit, ayah.” Mata biru Cruise Kecil membulat.

Sekalian penari, saintis, dan bomoh hujan memaku pandangan pada Cruise Kecil. Beribu-ribu mata menikam bibir mungil itu.

“Dia kata, langit sudah berhenti menangis. Air matanya sudah kering. Sudah terlalu lama manusia menyakitinya. Biar dunia kontang, terbakar bagai neraka. Betulkah, ayah?”

Cruise kaget. Seraya Temperance Cruise menghampiri ayahnya. Seluar Cruise dipaut anak gadis kesayangan.

“Ayah, itu suara Tuhankah?”

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s