Kispen 11: Kelapa

Ayah Mat tidak boleh buat apa-apa. Dia mandur sahaja. Kalau tidak cukup orang di ladang, dia kena punggah dari kampung.

Kalau ada yang sakit pening, dia hanya mampu singgah dan tanya khabar. Dibawanya kalau ada sisa ikan masin, beras, atau gula. Adat orang melawat.

Lebih daripada itu, Ayah Mat tidak boleh buat apa-apa.

Zaman Inggeris dulu, Ayah Mat sudah mangli lihat anak bangsa sendiri kena ludah dengan tauke ladang seluar pendek stokin tinggi topi bulat.

Tidak boleh buat apa-apa. Sambung hinggut dan sembah pokok sampai mengalir likat putih untuk cagar nyawa cagar makan anak bini.

Sekarang Inggeris sudah cabut. Datang si katik bendera matari ini lebih iblis daripada Inggeris. 

Semalam, Ayah Mat menenangkan Lijah dan Awang Lembu (dipanggil sedemikian lantaran handal mencari lembu hilang dan menguruskan hal-hal jemeleh).

Berteriak, meraung hiba di anjung rumah Ayah Mat. Anak dara mereka, Hawa, diculik Jepun.

Sampai sudah Lijah teresak-teresak sambil menggentel gumpal tudung Hawa. Basah jeruk tudung Hawa dengan air mata dan air hidung Lijah.

“Kamu nak aku buat apa? Kalau aku lawan, kepala aku dipenggal. Pernah kamu lihat pedang itu renggang dari pinggangnya? Bayonet lagi.”

“Habis, Ayah Mat tak sayang dengan orang kampung? Ayah Mat nak tunggu sampai Melah…” Lijah tangis semahu-mahunya.

“Sudahlah, Lijah. Terima kasih, Ayah Mat. Tolonglah apa yang mampu, ya?”

Awang Lembu memapah Lijah yang sudah tidak mampu melangkah. Tangga kayu bulat rumah Ayah Mat dijirik perlahan-lahan.

Melah. Benar juga kata Lijah. Anak daranya itu tidak dibenarkan lagi keluar bersiar-siar. Jaga ibu. Jaga kambing tiga ekor. Bersihkan batas ubi.

Bimbang. Malam itu Ayah Mat tidur bertemankan peluh sejuk. Pejam. Celik. Pejam. Celik. Dia bangkis dan mencapai jamung di tiang beranda.

Matari baru menjengah. Ayah Mat sudah lengkap berpakaian mandur. Minggu lepas, Kosuke sudah pesan dia ingin ke hujung kampung.

Mahu lihat sawah. Mahu minum air kelapa. Mahu punggah penoreh baru. Ayah Mat mesti ikut sama. Bukannya Kosuke bangsat itu tahu berbahasa.

Inggeris dengan pelat Jepun pekat. Mujur Ayah Mat masuk sekolah Inggeris, malah sempat belajar dengan empunya ladang dulu. Tuan McDundee.

Tiba di sawah, Kosuke bangsat dan gerombolan berehat di bangsal lama, dahulu tempat simpan padi.

“Mat! Kokonat! Kerapa! Kerapa!” Jerit Kosuke. Rupa jelek. Suara hodoh. Keldai.

Ayah Mat tunduk. Dipanggilnya Senik, Jali, dan Jusoh merukah pohon kelapa. Ambil kelapa muda.

Kosuke bangsat dan gerombolan mengilai sambil tuding jari pada Senik dan Jali nun di puncak. Senik tunjuk yang mana perlu dipulas.

“Saru! Saru!” Kosuke terkekek-kekek.

Senik, Jali, dan Jusoh muncul dengan tiga biji kelapa muda siap diparas, ditebuk. Terjejeh liur dari bibir Kosuke bangsat.

Kosuke bangsat dan gerombolan mencapai kelapa muda. Dua belah tangan memegang erat. Disua lubang kecil ke mulut seraya kepala didongak. Segar.

Mereka asyik. Ayah Mat mengangguk kecil.

Senik, Jusoh, dan Jali pantas mencabut pedang di pinggang gerombolan. Di tangan Ayah Mat, sepucuk Type 94 yang dicopet dari Kosuke bangsat.

Tiada jeritan. Semuanya terlalu pantas.

Kosuke bangsat dan gerombolan geliang-geliut. Bangsal kusam bertempek merah. Sekali-sekala tersembur dengus dari robek leher. Buih berdarah. Darah berbuih.

Ayah Mat pegun. Telunjuk dingin kaku di picu. Anak muda lebih pantas.

Dia mengumpul lendir hijau dalam tenggorok lantas diludah wajah Kosuke bangsat berpalut tanah, darah.

Advertisements

One thought on “Kispen 11: Kelapa”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s