Kispen 12: Pisau

Tangan Darwina menggeletar. Kilau mata pisaunya sudah kusam dilitup darah. Panas air mata di pipi. Puas. Gerun. Lega. Hiba.

Sudah lama dia bertahan. Siapa mampu sabar andai mata sendiri tertancap pada henjut suami bersama betina di ranjang sendiri?

Mata dan hati bagai dicacah. Jijik tak terucap. Dengus itu milikku. Keringat itu untukku. Titis baka itu buatku. Bukan jalang itu!

Darwina melangkah lemah ke bilik air. Pisau dibalut kemas dengan tuala putih, disumbat ke dalam plastik hitam. Letak di pinggir singki.

Darwina pulas kepala paip bertanda merah. Kepala biru dipulas jua sedikit. Biar suam. Jari demi jari digenyeh.

Satu demi satu rodokan menjelma di mata.

Yang pertama di leher. Mesti pantas. Suami cuba bangkit melawan, menggapai tangan. Pisau dibenam di dada. Merah membuak-buak. Benam lagi.

Tiga. Empat. Lima.

Tangan suami layu. Wajah betina jalang menahan ghairah terlintas.

Benam di perut pula.

Enam. Tujuh. Lapan. Hela nafas. Sembilan.

Suami sudah kaku. Rengek rintih betina jalang bersipongang.

Benam lagi. Kali ini di situ. Biar lumat za–

“Sayang, tak mahu tidur lagi?” Amrin mengucup lembut leher Nurah. Taipannya terhenti seraya ditutup skrin komputer riba. 

“Abang tidurlah dulu. Saya dah nak siap ni.”

“OK.”

Nurah kuap. Esok boleh sambung lagi. Dia meninggalkan ruang tulis dan kembali ke kamar. Amrin sudah nyenyak.

Nurah baring dan hela nafas panjang-panjang. Esok penerbit mahu lihat draf pertama. Dia meraba-raba bawah tilam.

Walau tersarung kemas, terasa jua dingin mata pisau. Pertama, leher.

Advertisements

5 thoughts on “Kispen 12: Pisau”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s