Kispen 13: Nombor

“Tiga! Satu! Enam! Tujuh!”

“Ya! Ya! Tiga! Ya! Satu! Ya! Enam! Ya! Tujuh!”

Raqam angguk-angguk. Di pinggir ruang parkir itu tiada siapa yang mengganggu. Aku buat kerja aku. Kalian semua rusuh naik kereta api. Eh, komuter. Eh, elarti.

Ah, samalah. Sama lambat.

Mata Raqam terkejip-kejip. Dikerling arloji kecil terlilit kemas di pergelangan tangan. Pukul lima. Bodoh. Dari tadi pukul lima.

Raqam pusing jarum pendek merah jambu berhias kartun entah apa. Langit merah kelam begini tak mungkin pukul lima.

Bodoh. Dari tadi pukul lima. 

Pang! Seekor nyamuk kecai di lengan Raqam. Garu. Bintat. Sudah lama Raqam tunggu Alan. Dia kata dia mahu datang lagi hari ini. Mahu nombor.

Batang hidung, batang jari, batang gigi Alan masih tak nampak. Raqam mundar-mandir. Sekali-sekala dia mengelak setiap derum enjin yang mencari ruang parkir untuk diterobos.

“Kam!” Hon kereta Alan berlempang-lempang. Raqam terloncat. Hampir terlondeh seluar pendek merah belang putih Raqam, maklum ditambat dengan tali rafia.

“Hoi! Gila! Kau nak bunuh aku, ya?”

“Kau yang gila, Kam! Baju apa kau pakai ni?” Alan tertawa sambil menarik-narik baju Raqam dari dalam perut kereta.

Raqam merengus. Dibetulkan semula kemeja hitamnya yang rebeh. Di dada terjahit dua lambang sekolah.

“Kau nak nombor tak?” Raqam pura-pura garang. Matanya terkejip-kejip.

“Yalah. Yalah. Cepat.”

Dengan segera Raqam terangguk-angguk. Laju. Makin laju. Tangan kiri tumbuk udara. Gelang-gelang getah warna-warni terlurut ke siku.

Bahu Raqam naik turun. Hela dengus makin kuat bak kerbau kena jemeleh. Kaki dihentak-hentak. Selipar jepun yang itu-itu jugalah dipakainya. Sampai legam.

“Lapan! Satu! Dua! Kosong!”

“Ya! Ya! Lapan! Ya! Satu! Ya! Dua! Ya! Kosong!”

Alan kernyih sambil tekan kekunci telefon bimbit. Sebelah lagi seluk kocek seluar.

“Nah, ini kau punya. Minggu lepas aku dapat lima ratus.” Wang renyuk berpindah ke genggaman Raqam. Alan melambai dan memecut keluar dari ruang parkir.

Lima puluh. Bodoh. Dari bulan lepas lima puluh.

Raqam jeling gadis-gadis universiti di ruang parkir bas. Baru turun. Mahu jumpa buah hati. Raqam cuma mahu jumpa Letchumi.

Sudah ada duit. Boleh beli bebola ikan selidi dua. Tapi Letchumi tak pernah ambil wangnya. Raqam kerling arloji.

Pukul lima. Bodoh. Dari tadi pukul lima.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s