Kispen 14: Nombor Lain

03 September 2012

Pedih. Raqam cuba lagi. Pedih. Cahaya berlumba-lumba tikam mata. Entah berapa lama dia sudah lena. Lengan, bahu, tengkuk – semuanya sakit.

Raqam cuba lagi. Kali ini perlahan-lahan.

Siling kapur bermotif abstrak. Kerawang entah apa jadi sempadan antara siling dan dinding. Lampu bentuk kubah terbalik di tengah-tengah di siling. Terang.

Raqam bangkit perlahan-lahan dan bersandar di kepala katil. Selesa betul tempat tidur ini, bisik Raqam. Punggung aku tenggelam semahu-mahu. Bantal gebu macam bebola ikan Letchumi.

Kerling arloji. Pukul lima. Bodoh. Dari tadi pukul lima. 

“Di sini, Tuan Tama-Tama.” Raqam terdengar suara.

Dia bingkas berdiri di bucu katil. Rupanya ada lorong kecil di hujung bilik. Ada pintu terkuak di hujung lorong.

Dua orang lelaki tubuh-tegap-sasa-kaca-mata-hitam-busjaket masuk diikuti tiga orang berkemeja putih berlogo kecil di dada.

Di belakang mereka, seorang lelaki separuh abad berkemeja T. Perut bocah menolak-nolak fabrik. Raqam tahu siapa ini. Akhir sekali, dua orang lagi lelaki tubuh-tegap-sasa-kaca-mata-hitam-busjaket.

Berbaris macam orang mahu naik bas pula. Raqam senyum. Dia masih terpinga-pinga.

“Kau tahu kenapa kau di sini?” Lelaki Sasa 1 beri isyarat agar Raqam duduk. Dia pilih tilam tenggelam punggung. Yang lain berdiri di ruang santai sebelah kanan katil.

Kecuali lelaki bocah. Dia duduk di sofa. Sekali-sekala mengurut misai.

“Tak. Aku nak balik. Lapar. Letchumi tunggu. Orang mahu nombor tunggu.”

“Apa kata kalian semua keluar dulu. Let me handle this.” Lelaki Kemeja Putih 1 tenang bersuara sambil membetulkan kaca mata bingkai tebal hitam.

Semua angguk. Semua keluar.

“Kam, nama saya Arvin. Kamu kenal siapa ini?” tangan Arvin tergenggam kemas sambil ibu jari menuding ke arah lelaki bocah.

Raqam angguk.

“Bagus. Kami mahu minta nombor daripada kamu.”

Terletus gelak besar dari mulut Raqam. Makin besar. Raqam berguling-guling di tilam tenggelam punggung. Kaki ditujah-ditujah ke atas.

“Kau ingat aku bodoh, ya? Tuan Tama-Tama ini ketua negara. Semua harta dia punya. Kenapa mahu nombor? Kalau mahu judi, pergi Bukit Sayup. Semua ada.”

“Dengar sini, Kam. Kamu masih hidup di sini sebab Tuan Tama-Tama. Kalau saya jadi kamu, saya ikut saja apa yang diminta. Faham?” Suara Arvin sedikit keras.

Raqam angguk.

“Kami mahu tarikh untuk mengundi. Pilihan raya.”

Raqam ketawa lagi.

“Aku gila, bukannya bodoh. Bukankah Tuan Tama-Tama ada beribu-ribu pakar dan penasihat?”

“Kami sudah tanya. Semua kata tak ada tarikh. Semua kata rakyat sudah benci dengan Tuan Tama-Tama. Semua cadang Tuan Tama-Tama letak jawatan. Kamu kenal Alan, bukan? Dia pekerja di pejabat saya. Dia bawa cerita tentang kamu.”

Raqam tahu. Bukan Alan saja yang bawa cerita. Minggu lepas, ada wartawan Mingguan Ghaib datang temuramah dan ambil gambar. Raqam turut saja.

“Itu saja. Kau beri nombor. Nanti ada habuan. Kau boleh pulang, jumpa siapa tadi?”

“Letchumi.” Raqam sengih. Dia tak mahu habuan. Nombornya percuma.

Raqam turun dari katil dan berdiri di hadapan Tuan Tama-Tama. Angguk-angguk laju. Tangan kiri tumbuk udara. Bahu naik turun. Kaki dihentak. Mata terpejam.

Nombor demi nombor bercahaya dalam gelita. Raqam nampak semuanya.

“Kosong! Empat! Satu! Dua!”

“Ya! Ya! Kosong! Ya! Empat! Ya! Satu! Ya! Dua!”

0412. Dua belas April sudah lepas. Empat Disember!

“Terima kasih, Kam. Kamu duduklah di sini. Nanti ada orang akan bawa kamu pulang jumpa Letchumi.”

Arvin dan Tuan Tama-Tama berlalu. Raqam renung televisyen skrin rata empat puluh inci di hadapannya.

05 Disember 2012

Patriot Negara (PN) tumpas di tangan Bentuk Revolusi (BR). Kalah teruk. Penyokong BR terkinja-kinja menari di jalan raya. Kali ini tiada lori sembur asid lagi.

Di ruang parkir stesen kereta api laju, Raqam baru selesai menikmati bebola ikan Letchumi. Dua lidi. Percuma.

Kali ini Raqam berteman. Lelaki bocah di sebelahnya masih belum berhenti gilir tangis-tawa sambil berlari sekali-sekala.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s