Kispen 19: Bukan Flatulen

Hari ini hari ketiga Persidangan Bijak Pandai Kebangsaan (PERBIDA) di negara itu. Lebih lima ribu cerdik pandai berhimpun di pusat konvensyen paling kesohor di ibu kota.

Jam sembilan pagi. Dr Mira Zafra sudah bersedia. Beg bimbit warna perak digenggam erat. Dia melangkah yakin ke pentas ucapan untuk persiapan awal.

Dewan Konferensi Satu semakin terisi. Para bijak pandai berjejal masuk, melongo kagum.

Ruang penonton persis Coliseum di kota Rom. Kerusi disusun menaik, melingkari pentas. Di tengah pentas, empat skrin LCD cembung tergantung bagai candelier, satu bagi setiap 90 darjah.

Sesi pertama, hari ketiga PERBIDA. Dr Mira Zafra membentangkan ciptaan terbarunya, Sistem Penggera Tipu Dalaman (SIPENIPUDA).

“Kita kerap kali berhadapan dengan penipu. Teknologi poligraf dan pengesan denyut otak sudah lapuk. Ini semua alat yang memberi peluang kepada manusia untuk bersedia menipu sebelum diuji.”

Hadirin mengangguk, ada yang tunduk mencatat. Dr Mira Zafra menjilat bibir bergincu merah hati. Udara pendingin hawa sedikit kering.

“SIPENIPUDA menghapuskan peluang itu. Teknologi ini mengesan dan membunyikan amaran sebaik sahaja penipuan berlaku.”

“Jadi, apa beza dengan teknologi sebelumnya?” 

Pengasas Institut Ramalmasadepan, Azral Junaidy bangkit dan mengangkat tangan lantas menyerlahkan baju batiknya, kuning terang dengan motif abstrak ungu.

Dr Mira Zafra sengaja memilih sesi pembentangan terbuka. Biar dijawab terus segala ragu.

“Bezanya,” dia senyum, cair beberapa hati, “SIPENIPUDA dibina daripada sel nano. Sel-sel ini disuntik dalam badan manusia untuk mengesan perubahan tekanan darah, sistem perpeluhan, refleks otot, perubahan saiz anak mata, degup jantung, dan mana-mana simptom fisiologi yang ditonjolkan oleh individu yang menipu.”

Beberapa helai rambut hitam perang menutup dahi. Dr Mira Zafra sisip semula ke telinga.

“Kemudian, sel-sel pengesan ini akan menghantar impuls ke mekanisme penghasilan flatulen. Bunyi penggera dihasil—”

Azral Junaidy bangkit lagi, “Jadi penipu akan berkentut? Kalau begitu susahlah nak kesan!”

Seisi Dewan Konferensi Satu gegak gelak tawa. Dr Mira Zafra kekal tenang sambil membetulkan jaket bolero hitam yang melitupi kemejanya.

“Tidak. Sel nano ini sudah diprogram. Memang bunyi penggera keluar dari anus, namun tidak sama langsung dengan flatulen, tetapi tiga kali bunyi ‘bip’ dengan jeda sesaat.”

“Setakat ini, ciptaan saya sudah mendapat paten. Saya mencadangkan agar kerajaan mewajibkan suntikan SIPENIPUDA pada setiap bayi yang baru lahir, begitu juga semua rakyat. Dengan ini, kita dapat menghentikan krisis moral berkaitan penipuan – skim cepat kaya, jenayah kolar putih, perceraian, pengabaian rumah tangga, ponteng sekolah, dan banyak lagi. Selepas ini, tidak ada lagi orang yang akan berani menipu!”

Seluruh hadiran berdiri hormat dan memberi tepukan gempita. Saintis genit jelita tunduk tanda syukur.

Seminggu kemudian, Menteri Perdana membuat pengumuman. Sel SIPENIPUDA akan disuntik secara percuma kepada semua rakyat. Kerajaan tegas membentuk masyarakat bermoral.

Sebagai teladan buat rakyat, kesemua wakil rakyat Dewan Wakil Utama dan Dewan Wakil Negeri telah menerima suntikan.

Dewan Wakil Utama bersidang.

Setengah jam berlalu. Wakil media berpusu-pusu keluar. Wartawan TV Anda Suka (TVAS) di hadapan kamera, masam mencuka.

Tanpa sedar, kamera sudah merakam. Seluruh negara menonton.

Dia merungut sambil cekak pinggang, renung tajam pada jurukamera, “Aku nak cakap apa? Tak dapat apa-apa pun di dalam! Dari tadi asyik bip-bip-bip!”

Advertisements

3 thoughts on “Kispen 19: Bukan Flatulen”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s