Kispen 76: Racun

Sheikh Nawar mundar-mandir. Tiadalah hari melainkan hari ini yang benar-benar membawa walang dalam segenap sudut hati, malah terserlah pula muram durja.

“Akan mengapakah wajah Sheikh sedemikian? Khabarkan pada hamba, andai tiada usai masyghul di dada, setidak-tidaknya sanggup hamba menadah telinga.” ujar Zamin, pengikut Sheikh Nawar paling setia.

“Semakin hari, semakin kurang pengikutku di sini. Apa yang kurang? Kuajar segalanya. Silat, tarekat, malah pahala mudah andai memujaku siang malam.” kerut kening Sheikh Nawar makin ketara, ibarat dua ayam bersabung hampir bertemu paruh kedua-duanya.

“Tidakkah tiba pada pengetahuan Sheikh, bahawa Tuanku Sultan sudah bertitah bahawa tiada moleknya bergurukan Sheikh di bumi Melaka ini. Segala sesat, segala bangsat.”

“Biadap!” Sheikh Nawar hunus keris ke udara. “Harus kita bertindak, jangan dibiar Tuanku Sultan bermaharajalela.”

Malam itu, seluruh pengikut Sheikh Nawar berjejal umpama laut manusia di laman rumahnya.

Ada juga yang tak ketahuan, sengaja mengekor dek dijanji orang jamuan percuma.

Bahkan segenap pengikutnya tiada yang diam melainkan bertempik marah. Marah pada Sultan, marah pada dunia.

“Dengarkan wahai pengikutku. Hanyasanya yang aku ingin khabarkan, bahawa seisi istana membenci kita semua. Kononnya kita pembawa faham sesat, kononnya aku mahu menjatuhkan Tuanku Sultan. Ini semua dusta!”

Sheikh Nawar. Sheikh Nawar. Sheikh Nawar. Laungan gegak gempita.

Zamin tampil dari dalam rumah dengan dulang berisi bekas air dan pisang rebus.

“Aku mahu kalian menjamu selera dahulu. Kemudian akan kukhabarkan apa yang perlu kita lakukan. Silakan.” Telunjuk Sheikh Nawar menuding ke arah jujuk meja di pinggir laman rumah. Segala makanan yang terbayang di minda, terhidang di depan mata.

Namun pengikutnya tidak berganjak. Ajaran Sheikh Nawar, biar dia menjamah hidangan dahulu, barulah yang lain menyusul.

Dia reguk air perlahan-lahan, kemudian terbatuk-batuk. Darah hitam merah pekat terpercik keluar dari rongga mulut.

“Lihat! Lihat! Ini pasti angkara panglima rahsia Tuanku Sultan. Sanggup meracuni pisang rebusku. Ayuh sekalian pengikut, amuk ke istana. Merusuh ke sana!” Sheikh Nawar meramas dada, tersandar pada tiang rumah.

Pengikut Sheikh Nawar berlari keluar. Jamung, parang, tombak, segala dijulang.

Kecuali seorang anak kecil yang tercegat di laman rumah. Matanya terkandung seribu soal.

“Wahai Sheikh yang hamba puja, kata Sheikh, Tuanku Sultan meracuni pisang rebus. Tapi, tidak pula hamba terlihat Sheikh menjamah pisang itu, melainkan seteguk air.”

Zamin terlongo. Sheikh Nawar menusuk renung bengis padanya. Helah bahlul dipercayai sekalian pengikut, kecuali cilik paling pintar.

Advertisements

3 thoughts on “Kispen 76: Racun”

  1. mudah sekali diperkotak-katik kalau terlalu fanatik pada manusia. cuba pandang isinya, mungkin ada yang akan sedar, kadang yang terlihat benar itu salah dan sebaliknya juga.

    Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s