Ironi budaya hipster

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio, Ahmad Izham Omar, berkongsi pandangan tentang hipsterisme.

Advertisements

[Sumber: NST]

Adakah kamu seorang hipster? Saya cuma pernah mendengar dua jawapan bagi soalan ini.

Jawapan 1: Sudah tentu tidak! Hispster sangat…errr…hipster (dengan wajah meluat).
Jawapan 2: Hipster tu apa bro?

Menjadi hipster semakin popular belakangan ini. Untuk yang masih belum tahu, biar saya cuba jelaskan maknanya; ini tugas sukar, kerana tidak ada definisi yang dipersetujui semua.

Umumnya, hipster menolak apa saja yang wujud dalam arus perdana. Dengan menganggap diri mereka alternatif kepada arus perdana, mereka memiliki citarasa yang langka namun bergaya dalam muzik, fesyen, slanga, restoran (ya, ada restoran hipster) dan beberapa perkara yang popular dalam budaya dan gaya hidup. Secara terasnya, mereka merupakan budaya-balas.

Jika masyarakat arus perdana menggemari sesuatu, mereka akan menolaknya. Jika ada kugiran indie baru yang sebelum ini kelihatan hebat, sebaik sahaja mereka muncul di carta radio, puak hipster akan menolak mereka.

Saya kenal seorang hipster yang amat kecewa apabila kugiran indie kegemarannya Vampire Weekend berada dalam carta radio Top 40.

“Macam mana saya nak minat mereka sekarang? Sekarang semua orang minat mereka?” amuknya.

Puak hipster malah menolak kewujudan hipster lain kerana sudah terlalu ramai yang berkeliaran. Pendirian melawan arus perdana ini bukanlah sesuatu yang baru. Apabila wujud sistem sedia ada, pasti ada yang menentang. Kita menyertainya atau melawan. Empire melawan Republic. Gergasi korporat Nike melawan Vans yang tenang.

Sekitar 1960-an, golongan hippies menolak sistem sedia ada dengan keamanan, cinta, kemeja-T yang disimpulwarna dan Volkswagen Beetle. Mereka ini kumpulan manusia cool yang sebenar. Hippies, beatnik, punk, grunge, dan kini hipster — ini semua kumpulan yang menolak konsumerisme berskala besar.

Mereka tidak mahu menjadi sebahagian daripada kumpulan pengguna yang jinak sesudah akal dibasuh oleh gergasi korporat agar membeli produk yang sama. Mereka menganggap diri sendiri lebih hebat berbanding semua itu.

Mereka mahukan pengalaman, produk, dan gaya baru yang mampu membantu mereka mengekalkan status sosial yang hip. Ironinya: walaupun puak hipster fikir mereka terkehadapan dalam citarasa dan gaya, dan mereka bukan sebahagian daripada pengguna yang sudah dipukau dengan iklan saban hari, pemikiran anti-arus perdana ini sebenarnya komponen yang penting dalam kapitalisme.

Perlakuan anti-arus perdana akan menghasilkan penggunaan arus perdana. (Menyeramkan! Menakutkan!) Semua orang mahu jadi penentang. Bukan mereka yang cool sahaja.

Dari trak makanan ke kemeja-T berupa vintaj ke festival muzik indie, ini semua timbunan produk untuk memenuhi jiwa penentang kita semua, dari puak hipster kepada hipster hujung minggu hinggalah makcik di Pendang yang hanya mahu tampil sedikit berbeza.

Gergasi korporat tahu kamu tidak mahu jadi sebahagian yang tewas dengan produk massa. Jadi mereka pasakan produk mereka supaya kamu rasa apabila kamu beli barangan yang cool itu, hidup kamu tidak membosankan seperti yang lain – bahawa hidup kamu sebenarnya satu pengembaraan.

Jika produk baru dan cool tidak memasuki pasaran, ekonomi akan terhenti. Tidak ada sesiapa, termasuklah pasaran arus perdana, yang mahu membeli barang yang sama.

Dengan selera yang terkehadapan, puak hipster membantu menggerakkan produk baru ke pasaran utama. Apa yang hipster beli, akan dibeli oleh masyarakat. Keunikan akan sentiasa menjadi normal. Sentiasa begitu.

Suatu hari nanti, Vans tidak cool lagi kerana makcik 40-tahun-namun-masih-mahu-hip kamu akan memakainya untuk mengenang zaman muda. Satu hari nanti, kugiran indie Haim akan memenangi anugerah Grammy (Menyeramkan! Menakutkan!). Satu hari nanti, kedai-kedai vintaj yang hipster akan jadi gedung beli-belah. Puak hipster memang akan terus marah kerana citarasa mereka akhirnya jadi arus perdana.

Kurt Cobain dari Nirvana, salah satu kugiran paling hebat sepanjang zaman bagi saya, amat membenci fakta bahawa beliau berjaya menjual jutaan album kerana pada pemikirannya, beliau sudah ‘dijual’ dan ‘menyertai arus perdana’ – sesuatu yang amat dilarang dalam dunia ‘punk rock itu bebas’ yang menjadi tempat asalnya.

Kurt fikir integriti muziknya sudah lenyap. Mungkin bunuh diri satu-satunya jalan untuk mengelak diri menjadi barang dagangan. Tapi itu semua bayangan sahaja. Kurt menjadi mangsa ide palsu bahawa dia sentiasa akan menjadi alternatif kepada arus perdana. Dengan itu dia tidak diperdagang. Dia akan tenang apabila jutaan manusia menggemari muzik ‘asing’nya dan dia tidak akan membunuh diri.

Mungkin itulah hakikatnya. Mungkin dunia cool dan tidak cool hanyalah imaginasi. Yang ada hanyalah produk dan pengguna. Kalau satu-satu produk itu bagus, ramai orang akan beli tidak kira cool atau tidak.

Saya tidak fikir puak hipster suka dengan pemikirian ini. Mereka tidak mungkin mahu percaya bahawa mereka sebenarnya sebahagian daripada jual beli awam, justeru penting bagi kapitalisme (Menyeramkan! Menakutkan!) Tapi mungkin juga mereka terlalu cool untuk membaca tulisan ini.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s