Kenapa saya beri wang pada pemuzik jalanan?

Karya, seperti juga hasil kerja kalian, bukan percuma.

Advertisements

Dendang irama di jalanan, tidak kira terbit dari getar tali gitar atau merdu suara berlagu, sudah menjadi halwa telinga yang resam terutamanya di kota agam seperti Kuala Lumpur.

Segenap penjuru dunia jua begitu. Anda akan bertemu wanita bersuara merdu yang bernyanyi sambil mengetuk tingkap kereta ketika terperangkap dalam kesesakan maha dahsyat di Jakarta; atau tenggelam dalam bunyi seruling paling tragis ditiup pemuzik kudung di Grafton Street, Dublin.

Soalnya, pernahkah anda memberi wang kepada mereka? 

Jawapan saya, ya.

Sabar, ini bukan entri bangga diri. Jangan hentam saya. Nanti kalau sudah viral, saya yang terpaksa sunting kisah aib sendiri untuk dimuatkan dalam laman Awani.

Ini cuma pemerhatian sosial. Bagi saya, pemuzik jalanan tidak meminta-minta. Mereka tidak menadah tanpa berbuat apa-apa.

Mereka berkarya.

Apa kamu fikir mudah untuk menggembleng irama sekumpulan gitaris amatur dalam hamis khalayak dan riuh trafik di hadapan pusat beli-belah Sogo?

Apa kamu fikir enteng jari-jemari menari pada bilah kekunci synthesizer sedang yang terlihat di mata hanya kelam dan getar nada dari hati terdalam?

Berilah yang semampunya, walau dalam keadaan ekonomi yang makin terhimpit belakangan ini.

Mengapa saya tegas dalam hal ini? Mudah saja.

Bayangkan anda sudah sebulan membanting tulang. Majikan memuji-muji mutu kerja sehingga ada yang iri melihat senyum di muka. Tiba-tiba majikan anda berkata: Untuk bulan ini, gaji kamu tiada.

Inilah yang dirasa para pemuzik jalanan setiap kali anda riuh bertepuk namun apabila selesai beberapa rangkap lagu, anda terus berlalu tanpa peduli.

Benar, tiada kontrak antara anda dan penggesek biola yang menghibur di pintu masuk stesen komuter KL Sentral. Namun, mereka sudah berkarya.

Karya, seperti juga hasil kerja kalian, bukan percuma.

Bagi saya, kayu ukurnya mudah. Kalau irama yang anda dengar dari pemuzik jalanan – walau sedetik – buat anda bernyanyi dalam hati atau kembali berkunjung ke taman memori, maknanya anda sudah guna karya mereka.

Hulurkanlah walau sekeping syiling, kerana kita tidak pernah tahu giliran kita dipaksa takdir menunggu rezeki di bawah matari sambil meneka pemberi yang sudi.

 

One thought on “Kenapa saya beri wang pada pemuzik jalanan?”

  1. Reminds me of a late friend who also share the same thought of yours.
    I would give some money to those not only musicians on the streets but also others, of memory of my dear friend.
    Innalillah.

    Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s