#MahasiswaLapar : Maafkanlah orang tua yang terlalu bangga dengan zaman mereka

Saya pun orang tua. Jadi saya faham, orang tua memang selalu bangga dengan zaman mereka. Sekali-sekala hidup dalam kenangan.

Advertisements

Kita semua pasti pernah mendengar cerita yang lebih kurang sama:

“Ayah dulu duit lima puluh sen pun dah cukup makan satu hari tau?”

“Nak pergi sekolah dulu, jalan kaki. Sampai haus kasut. Mana ada bas, LRT semua ni.”

Kemudian zaman beredar.

“Ayah dulu kalau nak dengar lagu, kena pusing kaset dengan pen tau? Nak jimat bateri Walkman. Mana ada rewind-forward semua ni.”

“Mak dulu buat assignment cari bahan di library tau? Mana ada nak kopipes, nak Wiki semua ni.”

Saya pun orang tua. Jadi saya faham, orang tua memang selalu bangga dengan zaman mereka. Sekali-sekala hidup dalam kenangan.

Sama seperti isu mahasiswa lapar masa kini.

Ada tiga persoalan yang menarik perhatian saya: 

1 Benarkah mahasiswa kebuluran?

Saya fikir ini isu sampel.

Ada orang cuma mencebik bibir dengan perkhabaran ini kerana dia mengenali, katakan, lapan orang mahasiswa yang leka berjoli dengan telefon pintar dan hidangan mewah sebaik sahaja menerima wang PTPTN.

Ada pula yang terpekik terlolong seolah-olah universiti sudah jadi padang jarak padang tekukur, sudah jadi savana yang cuma didiami haiwan liar dan manusia kebuluran halus lengan kembung perut – hanya kerana dia teringat kenangannya sendiri makan mi segera, atau selepas melihat gambar mahasiswa beratur ambil makanan di akhbar.

Pada hemat saya, tidak adil menghukum kelompok yang besar dengan sampel yang kecil.

Sedangkan golongan pekerja yang berpendapatan sendiri pun saban hari jerih bergelut dengan kos sara hidup yang mengerikan zaman ini, apatah lagi mahasiswa yang rata-rata bergantung dengan biasiswa, pinjaman, dan wang saku dari ibu bapa.

2 Benarkah kerajaan mengabaikan mahasiswa?

Soalan ini saya utarakan kerana saya terbaca satu artikel pendapat di sebuah portal berita yang marah betul dengan Khairy Jamaluddin. Katanya sebagai lulusan Oxford, KJ perlu lebih peka dan sedar bahawa masalah pelajar lapar itu wujud.

Menurut sentimen semasa, saya bersetuju bahawa kenyataan KJ (bahawa tidak mungkin mahasiswa kebuluran andai gelandangan pun bisa makan) kurang sesuai.

Namun, penulis artikel itu benar-benar cuai apabila menyifatkan kerajaan sebagai “buta jiwa untuk rasa kasihan” dalam isu ini.

Kalau tidak silap saya, KJ dalam kenyataan medianya memang mengakui masalah mahasiswa lapar wujud dan turut menyatakan kepekaannya dengan saluran bantuan yang ada.

Jadi, tidaklah sampai buta jiwa.

Sabarlah. Saya pun bukannya setuju sangat dengan parti Melayu yang sudah berpuluh tahun memperkuda bangsa sendiri ini, tapi janganlah jiwa kita dibutakan emosi melawan yang keterlaluan.

Dengan keadaan Malaysia yang diiktiraf sebagai salah satu negara paling mahal untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, kerajaan sudah pasti perlu ambil isu mahasiswa lapar ini dengan lebih serius. Jangan nganga saja.

Namun untuk mengatakan kerajaan mengabaikan mahasiswa sehingga kebulur, satu tuduhan yang berat.

3 Benarkah mahasiswa zaman sekarang manja?

Selepas isu ini melata, ramailah pengguna media sosial (termasuk beberapa orang teman saya) yang mula mendabik dada dan menjuih bibir kepada para mahasiswa.

Maka bersiponganglah kisah “zaman dulu aku ini” dan “zaman dulu aku itu”.

Bangga dengan kenangan, inilah perangai jelik kami sebagai orang tua. Kami selalu fikir kami lebih bagus.

Dalam keadaan ekonomi menguncup dan kami mengeluh tentang pasaran kerja yang lembap, tanpa segan silu kami herdik mahasiswa dan minta mereka cari kerja separuh masa untuk tampung duit poket.

Maafkanlah kami. Sebab jauh di sudut hati, kami pun sebenarnya rimas bila golongan lebih tua cerita tentang zaman sebelum merdeka. Cerita tentang didik anak-anak tidak perlu guna teknologi maka manjalah anak-anak kami dengan aplikasi belajar membaca di iPad. Cerita tentang hebatnya mereka mengarang tesis menggunakan mesin taip dan cecair pemadam maka manjalah kami menggunakan komputer riba.

Orang tua kadangkala lupa, zaman sudah berubah. Mereka selalu fikir kerana lebih awal garam dicecah, maka mereka lebih gagah.

Cerita dulu-dulu, tidak salah dibuat teladan. Namun usah diguna buat bekal menghukum dan menuduh sembarangan.

Kesimpulan

Andai anda tanya generasi muda masa kini, mereka pasti teruja dengan vokal tenang Yuna atau lagu-lagu manis Ayda Jebat.

Namun generasi di atas mereka akan tertawa dan berkata: pernahkah kalian mendengar suara Siti Nurhaliza?

Generasi lebih tua akan menggeleng kepala. Bagi mereka, cuma Sharifah Aini layak bergelar diva.

Namun itu pasti tidak mampu diterima zaman awal merdeka yang lebih terkenang pukau suara Nona Asiah dan Saloma.

Orang tua akan sentiasa berfikir zamannya lebih hebat dan mencabar. Namun perbandingan begini tidak akan membuahkan hasil matang andai kita benar-benar mahu membantu mahasiswa.

Kerana akhirnya, Adamlah yang akan menang. Dia akan berkata: kalian semuanya manja, tidak kiralah yang melawan Nazi atau dibom Zionis atau dibedil Jepun atau disembelih Bintang Tiga. Sedang aku dihalau Tuhan dari syurga ke dunia hanya berteman Hawa, masih mampu aku menyebar kalimah-Nya dan memulakan keturunan manusia.

Siapa nak jawab?

 

 

28 thoughts on “#MahasiswaLapar : Maafkanlah orang tua yang terlalu bangga dengan zaman mereka”

  1. baca panjang-panjang, point yang dapat adalah jangan bandingkan kehidupan zaman dulu. selain daripada point tu, there’s no recommendation for the solution, and there’s no real substance. might as well write it in a simple sentence, rather than a long essay with only one argument. Jimat 10 minit kehidupan orang ramai.

    Liked by 1 person

      1. Dont’ worry bro. Haters gonna hate.

        Ya, memang itu kesimpulan yang kita boleh dapat dari penulisan ini. Tapi, tanpa elaboration yang kita baca panjang-panjang, kesimpulan itu umpama pokok yang tidak berakar, tiada asasnya dan tidak mampu berdiri.

        Like

  2. Realiti kehidupan pelajar berbeza bagi setiap individu dan zaman. Itu fakta yang perlu diterima. Latar belakang dan cara hidup memainkan peranan penting. Manja atau tidak itu pandangan subjektif. Apapun nukilan ini memberi kesedaran tentang kesalahan yang kita lakukan tanpa disedari ketika mendidik golongan muda.

    Terimma Kasih..

    Like

  3. Penulisan yg baik..namun komentar saya seakan -akan ia menafikan kata² org yang belajar dari pengalaman orang lain adalah jalan pintas utk berjaya .. sedang org itu melalui zaman yg berbeza.. betul ke betul? 😉

    Like

  4. Salam abg bonsai. Saya bersetuju satu perkara iaitu soal sampel. Namun saya juga bersetuju tentang komen pertama di atas iaitu hujah menbandingkan zaman tidak menjawab isu. Saya lebih suka jika abg bonsai (jika kelapangan) membandingkan kos sara hidup mahasiswa di pelbagai tempat contohnya antara pelajar di sarawak dan shah alam sama kos nya? Sedangkan jumlah pinjaman/biasiswa sama. Apa pendapat abg?

    Like

    1. Do you know who should do that? The researchers for politicians, economy columnists, hell the government itself. Me? I’m just a two-cent writer. This is a blog, for God’s sake, not Financial Times. Haha.

      Like

  5. Ya ada beza antara org tua yg bercerita kerana ingin berbangga, ini buat kita menyampah….

    Dengan mereka yg tua, yg diamnya terserlah wibawa, bicara kalamnya senantiasa dipinta, menjadi nasihat dn wasiat yg tiada sirna

    Terima kasih tn ats perkongsian yg membuka minda, buat saya kenal utk membanding antaa dua jns org tua ini….

    Jazakumullohu khairan kathir

    Like

  6. Saya setuju abang. Even if saya baru habis STPM saya pun merasa serba sedikit mengenai keperluan wang. Memang, saya tinggal dengan ibu bapa, makan minum alhamdulillah masih terurus tapi buku pun sudah menjadi keberatan. Tambahan lagi dengan bayaran miscellaneous spt bayaran PIBG yang dah rm40 dan laptop, printer yang sy terpaksa beli sbb kena buat assignment. Saya nk minta laptop pun menggigil sebab tahu susahnya nak dapat duit pada zaman sekarang ni.

    Like

  7. setuju utk judgement hanya based on sample. tak semua mahasiswa boleh dilabel manja atau dilabel boros, atau even yang kebuluran tak bertempat. semua mahasiswa pernah lapar. bahkan org bekrja pon, namun masing2 kena pndai ikhtiar utk hidup.

    nama pun kehidupan. sy sebagai mahasiswa sndiri merasai perit jerih tatkala duit dalam akaun hanya ade RM2, tapi pandai2lah nak hidup.

    dalam hidup ni kita ad kawan, gunalah kawan2 yg ada. tak semestinya smua kawan yg ada tu kedekut. mustahil. mesti dlm ramai2 tu ade yg mmpu menolong.

    apepun, smua back to basic. bersyukur dgn nikmat tuhan, dan belajar berjimat. sy tahu student yg kata xckup tu, sbb awal sem makan sedap2. sebb sy pon cmtu kengkadang. hahaha.

    tapi setiap org ade rezeki masing2, pandai2lah hidup. tuhan ade. mintaklah doa byk2. sekian.

    Like

  8. Dunia yang sempurna…

    Jika satu masjid di Malaysia menyumbang rm1000 sebulan kepada satu badan khas kebajikan masyarakat.
    Maka rm1 000 000 sebulan dapat dikumpulkan jika terdapat 1000 masjid di Malaysia.

    Dan rm1J ni boleh diagihkan kepada 2000 keluarga daif dengan rm400 sebulan setiap keluarga dan berbaki rm200 000 yang boleh digunakan untuk diagihkan ke 50 buah universiti dengan nilai rm4000 sebulan sebagai dana untuk menyediakan makanan percuma kos rm2.5 untuk diagihkan kepada 100 orang pelajar daif setiap dua hari bagi mengurangkan kos sara hidup.

    Ini baru rm1000 bagi setiap masjid. Dan hanya 1000 masjid menyertainya setiap bulan. Apa yang boleh dilakukan jika pihak zakat turut menyumbang sama, dalam rm500 000 sebulan. Jutawan jutawan di Malaysia juga turut menyertai bersama bagi mencukupkan jumlah rm2j dan mampu membantu lagi 2000 keluarga dan 100*50 orang pelajar daif lagi.

    Dan bayangkan jika dibuka untuk rakyat pertengahan yang berkemampuan untuk menyumbang lagi rm100 sebulan setiap orang dan terdapat 10 000 orang menyertai bersama dan mencukupkan rm3j
    Di sini kita nampak rm3juta sebulan mampu membantu sebanyak 6000 keluarga daif dan juga 15000 pelajar daif.
    Jumlah ini sangatlah besar berbanding jumlah yang dikeluarkan oleh pihak2 yang menderma.

    Walau bagaimanapun ini hanya wujud dalam dunia yang sempurna. Bagi dunia masa kini, ini hanyalah impian, angan angan yang tidak akan kesampaian.

    Hanya Dunia Yang Sempurna
    -detective nie-

    Sekadar berkongsi

    Like

  9. Saya sebagai student, walaupun gigih memohon tempat di asrama kampus utk setiap sem, makan 2 kali sehari, nota fotostat dari kawan sbb print mahal, buku berebut nak pinjam di library sbb tak mampu nak beli, semua untuk jimat duit, diakhir-akhir sem tetap tak cukup. Akan ada beberapa minggu terakhir yg akan terpaksa telan mee segera itupun sekali sehari. Saya acap kali berdiam diri bila mak ayah tanya ada duit atau tak semata-mata tak mahu susahkan mereka. Sy percaya jika ada student mcm sy yg kebuluran. 14 minggu kuliah, 1 minggu belajar, dan hampir 4 minggu peperiksaan. Selalunya 4 minggu terakhir tu paling kritikal, saat nak tumpukan perhatian mengulangkaji dgn perut yg lapar. Sy mohon jgn perlekehkan isu mahasiswa kebuluran ini.

    Like

  10. Salam.
    Saya minta maaf kerana membangkang artikel anda.
    Saya masih lagi seorang mahasiswa dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik dan saya bukan orang tua.
    Saya telah melalui zaman kesusahan seperti mahasiswa lain.
    Saya dapat bertahan untuk 9 bulan hanya dengan RM 2,500
    2500/9=277.78 (sebulan)
    Jumlah ini adalah jumlah yang sangat sedikit jika dibandingkan dengan jumlah yang para mahasiswa terima daripada ptptn.
    Jumlah inilah yang saya gunakan untuk makan, material dan bahan, buku dan alat tulis dan sebagainya.
    Saya akui buku dan material di peringkat university ini sangat mahal.
    Saya juga akui saya malu untuk meminta duit daripada ibu bapa saya kerana mereka juga orang susah.
    Saya berusaha mencari inisiatif sendiri untuk meminimakan penggunaan duit secara efisyen dan memaksimakan nilai setiap ringgit.
    Alhamdulillah usaha saya berjaya tetapi saya tidak pernah menyalahkan pihak lain dan saya juga tidak pernah complaint tentang perkara ini.
    Saya cuma berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah.
    Hidup saya pada ketika itu tidak dinafikan sangat susah tetapi saya bersyukur kerana Allah telah mengilhamkan jalan.
    Baiki hubungan kita dengan Allah kerana Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.
    Assalamualaikum daripada orang muda.
    🙂

    Like

  11. Saya setuju 200% dgn penulisan ini. Pada saya kesan psychology je kita rasakan zaman kita lbh baik dari zaman kemudian.

    Kalau dikatakan org sekarang cukup teruk, jahil, tak tahu malu, cuma imbau kembali zaman mak ayah kita yg sangat “perfect” dulu. Wanita bertudung pun tak ada, amalan syirik/khurafat jadi kebiasaan, fahaman agama tak lengkap. Maksiat judi & arak pun ada. Anak2 sgt nakal merayau mandi di sungai & bendang.

    Tapi yg kita selalu dengar, zaman dulu2 lah yg paling bagus orang-orangnya.

    Like

  12. Assalamualaikum tuan.

    Saya tabik pendapat tuan atas isu ini. Pemikiran dan intelektual golongan dahulu berbeda dengan orang muda sekarang.

    Sebagai rakyat muda yang marhain ,saya berpendapat mahasiswa mahupon lepasan mahasiswa wajar mencari pendapatan sampingan sebagai contoh membuat pernigaan kecil kecilan yang tidak memerlukan modal dan pemantauan khusus bagi menampung kos sara hidup yang sangat tinggi.

    Ilham saya ini focus pada golongan yang ingin merubah kehidupan sendiri bukan kepada golongan yang hanya ‘alah cukup lah tu..janji ada’. Saya berpegang kepada firman yang esa ‘umat itu tidak akan berubah selagi mereka sendiri tidak merubah diri mereka’

    Hanya pendapat dari yang hina.

    Like

  13. Salam. Semua orang punya pendapat sendiri. Apa yang kita lalui membentuk diri kita sendiri. Justru itu, melalui apa yang telah saya lalui pada zaman saya…..saya tidak mahu ianya di tempuhi oleh anak saya. Jalan pintas dan belajar dari pengalaman! Jadi saya perlu memberikan yang terbaik untuk mereka dan bukan menunggu tangan yang menghulurkan bantuan atau menanti subsidi. Kita perlu bantu diri sendiri untuk terus hidup.

    Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s