Kenapa kita suka tonton filem dan rancangan TV yang sama berulang kali?

Soal hiburan, kita semua hantu ulangan: menonton semula Maharaja Lawak Mega di YouTube atau yang telah sedia terakam dalam penyahkod Astro, dan kekal menghadap televisyen yang sudah berkali-kali menayangkan Bujang Lapok atau Tiga Abdul.

Advertisements

[Sumber: The Atlantic]

Saat filem Ibu Mertuaku muncul di kaca televisyen, sesuatu yang ajaib berlaku kepada diri saya. Tidak kiralah hari itu saya rasa teruk, tertekan, atau kurang sihat, namun selepas beberapa saat mendengar tiupan saksofon Kasim Selamat (atau Osman Jailani?) – saya kembali segar dan gembira.

Tidak banyak filem yang benar-benar saya hafal (Tiga Abdul, The Shawshank Redemption, trilogi Bujang Lapok), tetapi Ibu Mertuaku mungkin satu-satunya filem yang buat saya terfikir “Saya boleh persembahkan semula filem ini dari awal hingga akhir, seorang diri.” Saya rasa saya pernah cuba beberapa kali. 

Soal hiburan, kita semua hantu ulangan: menonton semula Maharaja Lawak Mega di YouTube atau yang telah sedia terakam dalam penyahkod Astro, dan kekal menghadap televisyen yang sudah berkali-kali menayangkan Bujang Lapok atau Tiga Abdul.

Selama berjam-jam saya ulangi menjamu filem, rancangan TV, buku, dan lagu, saya sepatutnya gunakan masa itu untuk belajar kemahiran sebenar seperti bermain alat muzik atau bertutur dalam beberapa bahasa. Sebaliknya, saya telah menyempurnakan kemahiran olok-olok, misalnya memuntahkan semula monolog Dalton Russell (Clive Owen) dalam The Inside Man atau ucapan Raj Aryan (Shah Rukh Khan) sebelum memalu gendang pesta Holi dalam Mohabbatein.

Tindakan kembali semula meladeni budaya pop untuk kali kedua, ketiga, bahkan ketiga puluh bukanlah sesuatu yang aneh. Malah, tabiat ulang semula saya sebenarnya amat terkawal berbanding sebahagian anda yang sudah membaca Harry Potter lebih sepuluh kali atau menonton Kuch Kuch Hota Hai tanpa gagal setiap kali disiarkan di televisyen.

Para pengkaji muzik menganggarkan bagi setiap 60 minit masa yang diluangkan oleh seseorang untuk mendengar muzik, 54 minit (90 peratus) dihabiskan untuk lagu yang sudah pernah kita dengar. Lupakan saja lagu hit terkini. Kita semua penagih lagu hit yang lalu.

Mengapa kita menghabiskan terlalu banyak masa dengan kisah yang sudah diketahui penghujungnya?

***

Persoalan “mengapa manusia melakukan perkara sama berulang kali” telah mempesonakan para filsuf, antropologis, ahli ekonomi, dan pakar psikologi berabad lamanya.

Kata Kierkegaard (yang tidak pernah saya ulang baca), “Melainkan tidak dapat diulang, perkara yang sudah diulang-ulang itu mencipta sesuatu yang baru kerana diulang-ulang.”

Cristel Antonia Russell dan Sidney Levy menemuramah orang yang membaca semula sesebuah buku, menonton semula filem, atau melawat semula tempat yang sentimental.

Mereka mendapati manusia mencari hiburan yang sudah dikenali atas sebab yang amat spesifik – untuk menemukan semula perasaan yang sudah lama hilang atau untuk menghargai masa yang sudah berlalu.

Kajian mereka menyimpulkan empat sebab manusia gemar mengulang tayang hiburan mereka:

1 Ulang kerana suka

Sebab paling mudah sesebuah filem ditonton semula … ya, kerana anda menggemari filem itu.

Kalau penerangan ini tidak cukup sofistikated bagi anda, bolehlah gunakan istilah berbilang suku kata bagi fenomena ini, seperti reconstructive consumption.

Itulah istilah yang digunakan oleh Russell dan Levy untuk menerangkan responden yang menonton semula Battlestar Galactica dan Seinfeld untuk mengingatkan semula apa yang telah berlaku dan menyedari beberapa perkara kecil yang hanya mampu dilihat selepas memahami keseluruhan plot cerita.

Menonton sesuatu berulang kali seolah-olah menjadikan hiburan kurang menarik berbanding kali pertama menonton. Namun pakar psikologi mendapati pengulangan membentuk minat yang lebih mendalam.

Apabila sudah biasa, kurang tenaga minda yang diperlukan untuk memproses dan apabila sesuatu mudah untuk difikirkan, kita cenderung untuk menganggap perkara itu bagus. Sebuah filem yang sudah berkali-kali ditonton akan diproses dengan tenang dan gembira.

Istilah saintifik bagi situasi ini ialah “kesan pendedahan semata-mata”, maknanya kita sukakan sesuatu hanya kerana kita pernah terdedah. Ini membuktikan walaupun kita (mungkin) tidak suka mendengar Siapa Diriku dendangan Ayda Jebat buat kali pertama, namun setelah dimainkan berpuluh kali sehari di stesen radio, kadang-kadang tanpa sedar kita akan ‘terdendang’ jangan jangan, kau terburu-buru ketika mandi atau menyiapkan secawan kopi di dapur.

2 Ulang kerana nostalgia

Perkataan nostalgia – kombinasi perkataan Yunani kuno nostos (kepulangan) dan algos (kesakitan) – dibentuk pada kurun ke-17 untuk menerangkan jangkitan saraf dalam kalangan tentera upahan Switzerland yang mengalami tekanan ketika berjuang di luar negara.

Teorinya, para tentera ini merindukan banjaran dilitupi salji, atau mungkin daya kognitif yang dilemahkan oleh bunyi loceng lembu yang terlalu biasa didengari di ladang ternak Switzerland (serius, memang ini teorinya).

Selepas empat kurun berlalu, nostalgia telah bertukar dari penyakit yang diragui kepada model perniagaan sebenar yang menunjangi budaya imbas kembali seperti pemujaan bintang-bintang lama yang bersinar semula dalam Gegar Vaganza.

Kadangkala, kita menonton filem lama untuk memerah semula kemanisan lalu. Selalunya, kita lebih cenderung untuk memenuhi keinginan sendiri.

Dalam salah satu kajian Clay Routledge, pakar psikologi yang mengkaji nostalgia di North Dakota State University, subjek kajian yang didedahkan kepada beberapa lagu dan lirik pada zaman muda mereka akan lebih cenderung memberi respon bahawa mereka rasa “disayangi” dan “hidup ini berbaloi untuk dijalani.”

Kita gemar mengulang pengalaman budaya pop kerana pengalaman itu membantu kita mengenang masa lampau, dan tindakan itu menyenangkan hati. Heidegger menggelarkan tindakan itu sebagai redredging. Ada juga pengkaji yang menggunakan istilah regressive reconsumption – penggunaan hiburan sebagai mesin masa untuk melawat memori yang sudah hilang.

3 Ulang kerana terapi

Salah seorang subjek kajian Russell dan Levy bernama ‘Nelson’ mengulang percutiannya ke Florence dan Siena kerana 40 tahun lalu, dia pernah ke sana bersama isteri dan dua orang anak. Ketiga-tiganya sudah meninggal dunia.

Nelson merancang percutian itu dengan teliti untuk mengisi bank memorinya. Dia singgah di kawasan pelancongan, hotel, dan restoran yang sama. Bagi Nelson, percutian itu ibarat satu ziarah dan satu pengembaraan sentimental yang menenangkan hatinya dengan kehidupan masa kini.

Penggunaan nostalgia sebagai terapi bukanlah sesuatu yang aneh bahkan satu tindakan bijak. Kajian Heartwarming Memories mendapati nostalgia mewujudkan kelegaan fizikal dalam bentuk kehangatan: persekitaran sejuk lebih berkemungkinan mempengaruhi naluri kita untuk mencari kenangan, dan nostalgia yang dibangkitkan melalui muzik juga mampu menghangatkan badan.

Mungkin sebab itu kita lebih rindu saat hujan gugur dan udara lebih menggigit.

Salah satu perkara yang menyenangkan tentang filem lama ialah tiada kejutan untuk kita. Kita sudah tahu bagaimana filem itu berakhir dan perasaan kita ketika itu. Sebab itulah tontonan semula hiburan seolah-olah satu ‘peraturan emosi’ menurut Russell dan Levy.

Buku, filem, dan rancangan televisyen baru mampu memberikan kejutan yang hebat, namun semua itu turut mampu membuang masa dan mengecewakan kita. Filem lama tidak pernah mengecewakan. Kita menjadi lebih tua, namun usia filem kekal sama. Kembali kepada hiburan yang dikenali sebenarnya memastikan kita efisien dari segi emosi. Kita mendapat pulangan yang setimpal dengan apa yang kita cari – tiada kejutan.

4 Ulang kerana eksistensial

16 tahun lalu, saya berkesempatan menyertai pasukan forum remaja sekolah. Namun saya tidak tampil berceloteh di khalayak ramai. Saya cuma penulis skrip. Dalam perjalanan dari Taiping ke Shah Alam, saya dan teman-teman berkali-kali mendengar lagu hit ketika itu, Jika dendangan Melly Goeslow dan Ari Lasso.

Setiap kali lagu itu didengar semula (kalau tidak silap saya, beberapa hari lalu lagu itu diputar iTunes saya), saya seolah-olah membuka kapsul masa dan menonton segala isinya dalam nafas dan zaman baharu.

Dalam lagu itu bukan sahaja terkandung kenangan bersama teman sepasukan, malah rakan persekolahan, kolej kediaman dan mi segera, dan kenikmatan memanjat pagar sekolah hanya untuk memakan sekeping roti canai dan menghanguskan masa di kafe siber. Melalui itu juga saya memahami erti persahabatan dan jalan hidup saya yang amat berbeza dengan teman-teman.

Menurut Russell dan Levy, “hubungan dinamik antara pengalaman masa lalu, masa kini, dan masa hadapan melalui penggunaan satu-satu objek membenarkan pemahaman tentang kewujudan seseorang. Berhubung semula dengan objek tersebut, walaupun sekali, akan membenarkan pengalaman dibentuk semula kerana pengguna menilai keseronokan tertentu dan pemahaman terhadap pilihan hidup yang mereka buat.”

Ini bukan sekadar nostalgia atau terapi. Ini budaya popular yang menjadi papan tulis – memori lama barangkali kabur, namun dilapis dengan coretan perspektif baharu.

16 tahun lalu, dalam perjalanan ke pertandingan forum remaja, kami berkongsi kepingan coklat Cadbury Black Forest. Sebab itu setiap kali saya mendengar lagu Jika, lidah saya seolah-olah mengecap semula kemanisan jeli berperisa ceri dan kepingan biskut yang mendiami lapis coklat Black Forest.

Mengecap semula kemanisan kenangan.

Nota kaki: Artikel ini saya terjemah dan ubah suai mengikut kesesuaian contoh tempatan. Boleh rujuk pautan di permulaan entri jika mahu baca versi penuh bahasa Inggeris.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s