Kisah Iona Tasnim

Pengalaman yang dikongsi oleh salah seorang teman karib saya dan isterinya ketika mengharung detik getir puterinya bertarung nyawa dengan jangkitan otak.

Advertisements

[Sumber: S.N.A]

Itulah kisahnya.

Entri ini tentang anak kesayangan saya Iona Tasnim. Tentang pertarungannya untuk menyambung hidup pada usia paling muda. Saya mengambil masa setahun untuk menulis dan berkongsi semua ini pada khalayak. Sebenarnya saya ingin berkongsi sebaik sahaja Iona keluar dari wad namun saya tangguhkan.

Sebelum saya menyambung cerita, saya harap entri ini tidak mengundang salah faham. Saya menulis bukan kerana saya gemar berduka lara atau saya masih belum mahu mara atau ingin meraih simpati. Saya cuma harap entri ini dapat memberi manfaat kepada ibu bapa di luar sana.

Iona Tasnim dilahirkan pada 3 September 2014 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Selepas beberapa hari di hospital, dia dibawa pulang ke rumah. Tiada apa-apa yang aneh berlaku: dia seorang bayi normal. Selepas tamat tempoh berpantang dua bulan dan isteri saya kembali bertugas, Iona dihantar ke Cik Pah, seorang pengasuh di Pantai Dalam.

Demam Iona tak kunjung kebah sejak hujung Disember hingga pertengahan Januari. Kerana risau, saya berjumpa doktor hanya untuk mengesahkan bahawa tiada apa-apa yang serius tentang demamnya. Ya, para doktor.

Saya berkunjung ke beberapa klinik swasta dan hospital kerajaan. Pada masa yang sama kami cuba juga perubatan tradisional. Namakan sahaja. Segalanya kami cuba. Namun suhu badannya enggan surut. Kalau turun pun hanya untuk beberapa hari, kemudian naik semula.

Suhu badannya berlegar antara 37 hingga 39 darjah Celcius. Paling tinggi 39! Saya amat khuatir dan mula tertanya-tanya mengapa sukar benar menurunkan suhu badannya.

Jadi saya mengambil keputusan untuk ke Jabatan Kecemasan PPUM untuk ujian darah. Doktor telah menguji dan hasilnya negatif. Maksudnya tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan.

Kami lega. Namun kata doktor, jika keadaan itu (demam dan selesema) berpanjangan dan Iona tidak aktif, dia perlu segera dibawa ke hospital. Jadi kami pulang. Suhu badannya turun sehingga normal namun selepas seminggu kembali naik kepada 39 darjah. Jumaat, 16 Januari 2015, saya dan isteri menjemput Iona di rumah Cik Pah sekitar jam enam petang.

Iona begitu lemah. Dia tidak bertindak balas apabila saya memanggil namanya. Dia cuma membisu dan tidak banyak bergerak. Cik Pah kata Iona berperangai begitu sejak pagi. Malah, sudah tiga kali dia muntah pada hari itu.

Malam itu, tanpa berfikir panjang, saya dan isteri segera ke Jabatan Kecemasan PPUM dan kami beritahu segala-galnya kepada doktor yang bertugas namun kata doktor, normal bagi bayi sepertinya (berusia empat bulan) untuk demam, selesema, dan muntah. Kata saya tidak normal kerana dia tidak responsif sepanjang hari. Kata doktor, tidak, itu normal. Cuma saya yang terlalu risau.

Doktor meminta saya mengelap tubuh Iona dengan kain basah supaya suhu badannya menurun. Kami diminta pulang ke rumah dan dinasihatkan untuk tidak datang ke unit kecemasan dengan kes kecil sebegini kerana mereka ada banyak lagi kes kecemasan yang perlu diuruskan. Saya amat terkejut kerana Iona tidak dianggap sebagai kes kecemasan malam itu.

Kami pulang ke rumah penuh bimbang kerana kami tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan Iona. Saya masih ingat kami tiba di rumah pada jam 3:30 pagi. Saya terlena ketika isteri sedangkan menyusukan Iona kerana dia seperti enggan terlena.

Jam lima pagi. Saya dikejutkan oleh isteri. Dia ketakutan kerana sudah lebih lima minit kaki kanan Iona menggeletar begitu kuat. Kami sangka dia demam. Jadi saya gugel apa yang menyebabkan simptom itu. Sambil gugel, tangan kanan Iona pula menggigil. Saya putuskan untuk ke hospital. Saya tahu dia tidak demam. Dia semakin kebah (suhu ketika itu hanya 37 darjah, anehnya).

Kami sampai ke PPUM sekitar jam enam pagi. Doktor mengesyaki Iona telah digoncang atau dikasari. Jadi perlu imbas CT untuk pengesahan. Iona hampir tidak sedarkan diri. Matanya separuh tertutup. Keputusan imbas CT membuktikan tiada tanda kekasaran. Jadi kata doktor Iona mungkin terkena jangkitan. Dia segera dihantar ke unit rawatan rapi (PICU).

Iona tidak kunjung kebah jadi doktor terpaksa memberinya ubatan AEP. Saya tahu dengan rinci segala ubatan yang mereka gunakan ke atas puteri saya dahulu, namun kini perlahan-lahan saya lupakan, mungkin kerana saya tidak mahu mengenang semua itu lagi.

17 Januari 2015, hari pertama Iona di PICU. Apabila geletar tubuhnya tidak surut, doktor ambil keputusan untuk memberinya ubat tidur. Iona hanya memakai lampin kerana suhu terlalu tinggi. Wayar dari sistem sokongan nyawa berselisir di mana-mana. Saya masih simpan foto itu namun sehingga kini saya masih tidak sanggup melihat. Setiap kali saya cuba jiwa pasti luluh. Setiap kali!

Doktor terus memberinya antibiotik kerana mengesyaki otaknya dijangkiti kuman. Mereka sedar dari imbasan CT kedua bahawa amat jelas ada bahagian otak Iona yang sudah tidak menerima darah dan oksigen. Namanya infarksi otak. Selepas dua hari, tiada respon positif dari Iona. Untuk benar-benar mengetahui punca penyakit, lumbar punktur (LP) perlu dibuat. Saya berat hati untuk beri kebenaran namun saya tidak pilihan.

Memori saat itu jelas, kata doktor, anak awak menghampiri mati dan kita tidak boleh tunggu. Cuba anda bayangkan, anak girang yang baru bersama saya selama empat bulan kini bertarung menyelamatkan nyawa! Cuba anda bayangkan remuk redam hati isteri saya apabila mendengar semua itu? Dia mengandungkan Iona selama sembilan bulan, menyusukannya, dan bayi itulah yang kini terbaring merayu agar nyawanya kekal. Pada setiap senyum kami ada derita yang disembunyi. Yang tidak terlihat oleh kalian, barangkali.

LP sudah selesai dan doktor mendapati otak Iona telah dijangkiti, begitu juga peparu dan darah. Dia didiagnosis menghidap meningitis, sepsis, dan pneumonia. Sekali lagi, saya merayu pada Tuhan agar puteri saya diselamatkan. Saya ingin melihat dia membesar. Kata doktor, pemindahan darah perlu dilakukan jika tiada tindak balas, sebagai pilihan terakhir.

Keajaiban akhirnya tiba. Iona bertindak balas terhadap antibioitik sebelum pemindahan darah dilakukan. Alhamdulillah.

Namun dia masih diberi ubat tidur kerana mungkin geletar menyerang semula andai dia tidak lena. Denyut jantungnya laju sekali, 180++ sehingga hari ketiga dan keempat di PICU. Demamnya tidak kebah. Doktor menukar ubat yang lebih ampuh dan lebih tertumpu kerana mereka sudah kenal pasti patogennya. Spectrococal atau apa, maaflah kerana saya tidak mampu mengingat semula.

Pada hari keenam, Iona dipindahkan ke wad biasa. Dia sudah stabil dan tidak menggunakan sistem sokongan untuk bernafas. Namun geletar, demam dan denyut jantungnya masih bermasalah. Dia kekal di wad lebih kurang seminggu dan menjalani banyak ujian seperti ECG dan sebagainya.

Doktor selalu kata dalam kes seperti ini, jangkitan parah terhadap otak (dengan beberapa infark otak), prognosisnya tidak baik dan Iona bakal terbantut dalam perkembangan, pembelajaran, pertuturan, pendengaran, penglihatan, dan sebagainya. Setiap kali doktor menuturkan berita itu, saya segera mendakap isteri saya dan menenangkannya. Tangisan kami hanya dinoktahkan lena.

Selepas dua minggu di hospital, Iona dibenarkan pulang. Dia perlu dipantau selama dua tahun. Dia perlu menjalani terapi fizikal (yang masih dilakukan hingga sekarang), pemeriksaan mata dan telinga, dan sebagainya. Pemulihan Iona mengambil masa juga walaupun dia sudah keluar wad. Pembangunannya seperti bayi baru lahir. Dia perlu belajar segala-galanya, semula.

Alhamdulillah, setahun berlalu, dia kini riang dan sihat. Sudah tentu, ada beberapa perkara yang masih perlu kami lakukan untuk memastikan dia kekal sembuh dan kami amat bersyukur kerana tidak pernah putus asa dengannya. Kami gembira kerana mampu melalui semua ini.

Andai anda bertanya bagaimana seorang bayi boleh dijangkiti seteruk itu, saya tidak ada jawapan, begitu juga doktor. Kata mereka patogen ini merebak di udara dan bukan sahaja bayi, malah sesiapa sahaja boleh dijangkiti.

Allah memilih kami untuk melalui semua ini dan kami tidak pernah sesal. Ujian ini menjadikan kami manusia yang lebih baik dan teguh dalam pelbagai segi. Ujian ini membawa kami lebih hampir kepada Allah dan sesungguhnya, menebalkan lagi cinta kepada puteri kesayangan kami, Iona Tasnim.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s