Connolly

Pearse, MacDonagh, Clarke, Plunkett, O’Hanrahan, Heuston dan beberapa orang lagi pemimpin Kebangkitan Easter telah dihukum bunuh di Penjara Kilmainham dalam tempoh sembilan hari lalu. James tahu, hari untuknya sudah tiba.

Advertisements

Pagi itu kawasan luar Penjara Kilmainham sekali lagi sesak dengan manusia, malah lebih padat berbanding hari biasa. Kebanyakannya berkunjung atas sebab yang sama.

Mereka sudah jelak mendengar dentum senapang bertubi-tubi di sebalik tembok penjara, yang diikuti dengan kibaran bendera hitam yang dinaikkan perlahan-lahan.

Tiap dentum mewakili satu nyawa melayang, seorang manusia yang dianggap oleh empayar British sebagai penderhaka. Kebanyakan yang dihukum merupakan pejuang nasionalis dan sosialis yang mahu Ireland bebas dari belenggu empayar.

Penduduk sekitar Kilmainham mahu empayar British nun di seberang laut dan para juaknya di Ireland tahu bahawa mereka benci kerajaan ini.

Mereka mahu bebas.

Republik ini milik orang Ireland, dan hanyasanya layak diperintah oleh bangsa mereka sendiri.

Pagi itu jua sebuah ambulans sudah bersedia untuk bertolak di Hospital Istana Dublin. Pemandu cuma menunggu isyarat dari pihak tentera yang akhirnya tiba.

Dua orang pegawai tentera mengawasi beberapa orang anggota yang bersusah-payah memindahkan seorang lelaki yang tampak tidak bermaya, berbaring di usungan.

Dadanya berbalut, menutup luka parah akibat terkena serpihan bom. Kakinya jua dibebat tebal kerana buku lali yang sudah hancur dimamah peluru.

Kesemua itu cenderamata hasil pertempurannya dengan tentera British hampir seminggu yang lalu, sebelum dia menyerah dan dipindahkan ke hospital untuk dirawat.

Namanya James Connolly.

Sambil berbaring di dalam ambulans, dia mengenang teman-teman seperjuangan yang berkongsi ide serupa – betapa negara ini harus wujud sebagai republik dan bukannya akur di bawah telunjuk istana Inggeris. Berita tentang mereka yang sudah diberkas dan dihukum bunuh sudah tiba di telinga James.

Pearse, MacDonagh, Clarke, Plunkett, O’Hanrahan, Heuston dan beberapa orang lagi pemimpin Kebangkitan Easter telah dihukum bunuh di Penjara Kilmainham dalam tempoh sembilan hari lalu.

James tahu, hari untuknya sudah tiba.

Ambulans berhenti. Sebaik sahaja pintu ambulans dibuka, James merasakan angin musim luruh sudah tidak sedingin mana. Musim panas sudah mula merangkak masuk.

Dia diusung keluar dan dibawa ke laman belakang penjara. Di situ tembok penjara dibina tinggi, biar tiada sesiapa yang melihat. Yang menjadi saksi cuma langit, dan Tuhan bagi yang percaya pada kuasa Maha Esa.

James dipertemukan dengan paderi terlebih dahulu, untuk sesi pengakuan dosa dan pengampunan. Ironinya, James sudah terlupa kali terakhir dia menyertai mana-mana upacara agama. Barangkali ketika perkahwinannya pada tahun 1890.

Atau beberapa hari yang lalu, sekiranya perbualan dengan paderi di hospital boleh dianggap satu upacara.

Usai bertemu paderi, matanya segera ditutup dengan kain. Sekeping kertas bulat rona putih ditampal di dada.

Dia diheret ke hujung tembok. Tubuh lemah dengan kaki cedera parah menyebabkan James tidak mampu berdiri. Petugas penjara kemudian mengambil sebuah kerusi dan mendudukkan James.

Beberapa meter di hadapannya, 12 orang askar British sudah bersedia. Enam orang berdiri sebaris dan enam orang lagi berlutut sebelah kaki membentuk barisan kedua di hadapan mereka.

12 pasang mata mereka tertumpu pada titik yang sama. Kertas putih yang ditampal pada dada James, dibidik tepat di muncung senapang.

Belum sempat picu ditarik, tubuh James tergeluncur jatuh dari kerusi. Dia menyembah bumi.

Petugas penjara segara mendapatkan James. Dia masih bernyawa namun terlalu lesu dan uzur sehingga tidak mampu untuk duduk sekali pun. Namun itu tidak menghalang tentera British untuk menyempurnakan hukuman bunuh.

James didudukkan semula. Tangannya diikat ke belakang, ditambat ke kerusi. Kakinya bersatu dengan kaki kerusi.

“Sedia!” laung pegawai tentera.

Dua baris skuad penembak kembali lurus.

Geser but tentera dengan kerikil di laman penjara mendamaikan hati James. Dalam gelap likat di sebalik penutup mata, dia berdoa agar seluruh bumi Ireland merdeka. Dia berdoa agar darahnya tidak sia-sia.

Dia berdoa agar British sedar walau jasad bisa binasa, namun tekad abadi hidupnya, bakal bersipongang dari hati ke hati yang sama berani dan bersedia.

Gema tembakan peluru sekali lagi buat kerumun manusia di luar penjara Kilmainham menjerit marah.

Paderi yang mula pulang menitiskan air mata sambil menggenggam erat tasbih. Dia teringat perbualan singkatnya dengan James sebelum dia diseret untuk dihukum.

Saat dia bertanya James, apa mungkin dia mengampunkan skuad penembak yang bakal menembaknya kelak, James menjawab penuh tenang:

“Saya doakan semua yang melunaskan tanggungjawab. Maafkanlah mereka, duhai Bapa, kerana mereka cuma menurut perintah yang lebih berkuasa.”

Nota kaki: Kisah ini saya abadikan di status Facebook bertarikh 6 Julai 2014 selepas mengunjungi Kilmainham Gaol, yang kini beroperasi sebagai sebuah muzium di Inchicore Road, Dublin 8. Salib yang dipacak pada laman Kilmainham Gaol seperti yang terpapar pada gambar di atas menandakan tempat James Connolly ditembak mati.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s