Kispen 147: Lintas

Bagaimana mungkin dia mahu meyakinkan si kecil ini bahawa seisi dunia sudah terkhilaf dan cuma ibunya yang benar?

Advertisements

Tangan Faye disenjah sekali lagi.

“Ibu, bolehlah. Yang kecil saja. Saya janji, balik nanti saya kemas semua mainan,” Mark memuncung bibir sambil mata dibundar. Renungannya kemas tertumpu pada poster Supermac’s Strawberry Milkshake yang terpapar di dinding kaca restoran.

“Sayang, baru tadi ibu belikan aiskrim. Esok ya. Kita balik dulu.”

Dua beranak itu berpimpin tangan di Jalan O’Connell, sekali-sekala mengelak kerumunan pelancong yang galak bergambar dan menuding jari ke arah monumen gangsa yang dibina bagi mengingati Daniel O’Connell, pejuang politik Ireland kurun ke-19 yang memainkan peranan penting dalam perjuangan membebaskan Ireland dari United Kingdom.

Dia masih ingat Mark pernah bertanya tentang empat wanita bersayap yang bersimpuh di bawah patung O’Connell.

“Siapa mereka itu, ibu? Kenapa mereka bersayap?”

Kata orang, empat bidadari itu mewakili empat wilayah di Ireland – Munster, Leinster, Ulster dan Connaught.

Ada juga yang mengatakan empat bidadari itu mewakili empat sifat mulia Daniel O’Connell yang perlu dicontohi seluruh warga Ireland:

Keberanian – diwakili bidadari dengan pedang di tangan kanan dan perisai di tangan kiri.

Kesetiaan – diwakili bidadari yang ditemani anjing baka Irish wolfhound yang dipercayai wujud di Ireland sejak kurun ke-4 lagi.

Kefasihan – diwakili bidadari yang meriba himpunan tulisan.

Cinta negara – diwakili bidadari yang merenung jauh ke hadapan sambil tangannya menggenggam erat seekor ular yang cuba menyerang.

Namun dia tahu terlalu lelah untuk menghuraikan semua itu kepada Mark.

“Kamu nampak tak lelaki yang berdiri di atas sekali?” soal Faye sambil menuding jari ke arah patung O’Connell yang megah berdiri di bahagian monumen paling atas.

“Nampak, ibu.”

“Beratus-ratus tahun dulu, dialah yang membuka bandar ini. Dan empat bidadari itu menjaganya. Melindunginya dari sebarang bahaya. Macam ibu jaga kamu sekarang,” bibir Faye nan merah ranum mengulas senyum seraya jarinya mencuit hidung Mark.

Khayalan Faye dinoktah laung amaran dari tren LUAS yang melintasi jalan.

Usai tren berlalu, Faye melempar pandang ke arah lampu isyarat pejalan kaki.

Masih merah.

“Ibu, kalau saya kemas mainan dan picit bahu ibu nanti, boleh? Ibu tunggu di sini. Biar saya saja yang pergi beli,” kali ini mata Mark lebih bundar.

Mata itu menyejukkan hati Faye saban hari, mata itu jugalah yang kadangkala menghiris hati Faye halus-halus.

Mata yang mengingatkannya kepada Fernando yang meninggalkannya lebih kurang enam tahun lalu, sebaik sahaja dia berkongsi khabar bahawa dia hamil.

Kini dia sendirian, mencari sesuap nasi sambil membesarkan Mark yang saban hari makin pintar dan petah.

Jalan lengang. Kerumunan pejalan kaki mula melintas jalan.

Mark mahu turut melangkah namun Faye lebih pantas menghalang.

“Dah lupa ibu pesan? Tunggu orang merah itu jadi hijau, baru boleh lintas jalan.”

“Tapi semua orang dah lintas, ibu.”

Saat itu jugalah Faye bertambah sedar bahawa tidak mungkin jalan hidupnya semakin mudah.

Bagaimana mungkin dia mahu meyakinkan si kecil ini bahawa seisi dunia sudah terkhilaf dan cuma ibunya yang benar?

Sambil menunggu lampu hijau, Faye berdoa di dalam hati. Dia mahu menjadi sekuat wanita yang barangkali tidak terlihat oleh Mark pada monumen O’Connell.

Dia mahu seteguh Erin, satu-satunya patung wanita dalam kalangan patung-patung gangsa mewakili kerencaman masyarakat Ireland yang berdiri di bawah O’Connell. Tangan kirinya memegang cebisan Akta Pembebasan Katolik dan tangan kanannya diangkat menuding jari ke arah O’Cell.

Erin tampil bebas dari belenggu rantai besi yang diinjak. Patungnya diukir hampir dengan patung agamawan dan golongan buruh, paling jauh dengan patung politikus.

Faye melempar pandangan ke arah lampu isyarat pejalan kaki.

Sudah bertukar hijau.

Dua beranak berpimpin tangan melintas jalan. Mark masih merungut.

Nota kaki: Entri ini pernah dikongsi sebagai status Facebook saya pada 19 Jun 2014

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s