Kispen 148: Mucha

Kau sebaliknya melukis Tuhan. Kasihan, sebegini indah kau mengingatinya, sedang Tuhanmu masih membiarkan kau papa.

Advertisements

“Cantik,” ujar Christopher. Rokok yang diapit bibir disedut dalam-dalam.

Dia bersama-sama beberapa pejalan kaki sedang mengerumuni seorang lelaki di pinggir Henry Street.

Lelaki separuh abad itu sedang berlutut di hadapan sebidang kanvas berukuran 10 kaki x 10 kaki yang ditampal di muka jalan dengan pita perekat. Keningnya berkerut sambil meneliti karya yang sudah hampir sebulan dilukis:

Virgin Mary yang tertunduk ayu sambil meriba Jesus dilukis dalam gaya Alphonse Mucha, pelukis gaya art nouveau yang tersohor lewat kurun ke-19. Latar belakang hitam pekat dihias lingkaran bunga kecil penuh warna membentuk siri bulatan kecil mengelilingi Virgin Mary.

Tangan lelaki itu masih kejap memegang berus lukisan bermuncung tirus yang dipalut cat rona merah.

“Kamu sedang melukis Tuhan, bukan?” Christopher mencuba sekali lagi selepas sapaan pertamanya tadi tidak berbalas.

Lelaki itu meletakkan berus lukisan penuh hati-hati ke dalam gelas kecil yang dihuni beberapa berus rencam saiz dan warna.

“Apa?” lelaki itu menoleh ke arah Christopher. Khalayak seraya terdiam.

“Aku bertanya tadi, adakah kamu sedang melukis Tuhan?”

“Tidak. Aku cuma menghadiahkan manusia apa yang kufikir tentang Jesus. Mana mungkin aku membayangkan rupanya.”

“Jangan mengarut. Kau tidak menghadiahkan apa-apa. Kau datang ke sini untuk mengemis, seperti yang lain juga. Bezanya mereka memakai kostum aneh atau berdendang dengan gitar atau membikin haiwan dengan pasir. Kau sebaliknya melukis Tuhan. Kasihan, sebegini indah kau mengingatinya, sedang Tuhanmu masih membiarkan kau papa,” Christopher tersenyum sinis. Jelingan khalayak yang sinis ke arahnya tidak dipedulikan.

“Jadi Tuhanmu lebih adil? Kerana kau lebih kaya?” lelaki itu tersenyum sambil meneliti sut pereka yang membalut tubuh Christopher.

“Tuhan? Jangan mengarut. Aku kaya kerana aku rajin berusaha. Aku tidak percaya kepada lelaki ghaib penuh kuasa yang bersembunyi di langit.”

“Aku juga kasihan kepadamu,” pelukis itu kembali mencapai berus, kali itu yang bermuncung lebih tirus. Dia menggaris rona hijau perlahan-lahan di ruang kecil yang membentuk sulur paut penyambung bunga-bunga kecil di kanvas.

“Mengapa?”

“Kerana kau juga bertuhan, namun tidak pernah kau sedari. Dia juga membiarkanmu papa.”

“Apa yang kau racaukan ini?”

“Tuhanmu berada di dalam kocekmu. Malah jua di sini,” pelukis itu mengetuk balang kecil di penjuru lukisannya.

Syiling euro berlagaan, bergemerincing.

“Seharian kamu menyembah wang, kemudian kamu pulang dan membuangnya pada bir, wanita, dan pakaian mahalmu. Rumah, kereta, dan segala yang mengindahkan hidup.”

“Itulah yang membuat hidupku selesa, bukan sepertimu dielus dingin jalanan begini.”

“Benar? Dan kau sentiasa rasa cukup? Tuhanmu tidak akan membenarkan itu berlaku. Dia akan terus menghambakanmu, sehingga nyawamu dicabut. Dia mahu kau terus mencarinya tanpa penghujung.”

Seorang wanita lalu mencampak sekeping syiling dua euro ke dalam balang seraya disambut pelukis itu.

Sambil tersenyum memegang syiling, pelukis itu memandang tepat ke mata Christopher.

“Sekurangnya-kurangnya, Tuhanku sentiasa membuat aku merasa cukup, walau sekecil ini nilai makan malamku kelak.”

Nota kaki: Entri ini pernah dikongsi sebagai status Facebook saya pada 22 Mac 2014

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s