Kispen 149: Gadis Coimbra

Tangan Syahrin ditarik pantas. Dia langsung tidak mampu mengawal langkah lalu berjalan pantas mengekori gadis itu tanpa rela.

Advertisements

Syahrin terlongo. Dia berpaling sekali lagi ke belakang. Yang paling nyata di depan mata, Stephen Green’s Shopping Centre yang disimbah sinar lampu hijau. Itu saja bangunan yang dia kenal di Dublin. Tempat pertama yang dikunjungi bersama Redza yang belajar di sini. Sudah puas dia menolak ajakan Redza namun akhirnya mengalah jua.

“Lepak Manchester buat apa? Datanglah sini. Kami cuti tiga hari. Boleh tengok orang sambut St Patrick’s Day di Dublin. Baru meriah,” ujar Redza dalam perbualan telefon minggu lalu.

“Yalah. Tapi makan semua kau yang tanggung tau?” balas Syahrin.

Nyata Redza menepati janji. Baki sandwic ayam yang masih ada di tangannya dibikin oleh temannya sejak sekolah rendah itu. Apa yang diisi, Syahrin tidak peduli. Asalkan boleh ditelan.

Syahrin pandang semula ke hadapan. Semakin ramai manusia berkerumun di depan pentas persembahan yang dibina di tengah-tengah jalan, diapit oleh blok perniagaan dan St Stephen’s Green, antara taman awam terbesar di Dublin.

“Kamilah lanun dari Ringsend!” teriak vokalis kugiran di pentas diikuti sorak-sorai penonton.

Syahrin tidak ikut bersorak. Dia tiada selera untuk bergembira setelah ditinggalkan keseorangan di pusat beli-belah tadi.

“Kau tunggu sini ya. Aku kena balik kejap. Ada hal. Nanti aku datang balik jemput kau. Kalau kau nak pusing-pusing dulu pun boleh. Guna saja Google Map nak balik nanti,” ujar Redza yang terkocoh-kacah meninggalkan medan selera Green & Baker petang tadi.

“Tak apalah. Aku pusing-pusing di sini saja. Aku tunggu kau.”

Syahrin pilih untuk berdiri di kaki lima dan memerhatikan saja pesta St Patrick’s Day yang semakin meriah. Ada enam gadis berpakaian pasukan sorak menari sambil memegang bahu masing-masing lantas membentuk barisan yang diekori rapat beberapa pemuda yang bergelak ketawa. Ada sekumpulan pemuda lain membentuk bulatan kecil sambil menjerit rawak, mengelilingi tompok tin bir yang disusun rapi. Gamat, dan segalanya berwarna hijau.

Belum lagi dikira himpunan manusia di hadapan pentas yang patuh menurut arahan vokalis kugiran.

Disuruh sorak, sorak. Disuruh lompat, lompat. Disuruh kinja, kinja.

“Tengok saja?”

Syahrin tersentak. Dia menoleh ke sisi. Suara itu milik gadis berambut kerinting di sebelahnya.

“Nampaknya begitulah,” Syahrin membalas senyum.

“Seorang saja?” soal gadis itu. Kening lebatnya seraya terangkat.

“Saya tunggu kawan.”

“Yalah. Tapi sekarang kamu seorang kan?”

Syahrin cuba meneka loghat gadis itu. Kedengaran seperti salah seorang pensyarahnya di Manchester. Orang Sepanyol.

“Ya.”

“Mari, ikut saya.”

Tangan Syahrin ditarik pantas. Dia langsung tidak mampu mengawal langkah lalu berjalan pantas mengekori gadis itu tanpa rela. Mereka meredah lautan hijau hingga akhirnya gadis itu berhenti di antara sekumpulan pelancong yang kedengaran bertutur dalam loghat Amerika dan dua kumpulan gadis yang tekun menghayati tiupan trumpet di atas pentas sambil kesemuanya mengangguk mengikut irama.

“Saya…saya tak pandai menari,” ujar Syahrin selepas melihat gadis itu mula menggerakkan tubuh.

“Kamu fikir semua orang di sini pandai menari? Mereka cuma mahu bergembira saja.”

Syahrin cuba kekal kaku namun gadis itu pantas mencapai tangan kanannya lalu dihayun.

“Nak?” gadis itu menghulur tin bir yang sejak tadi dipegang kemas.

“Tak apalah,” balas Syahrin.

“Kamu tak dahaga?”

“Saya tak minum bir. Saya Muslim.”

“Oh. Tapi kamu boleh bergembira kan? Hari ini bukan untuk kami saja,” gadis itu mengenyitkan mata.

Syahrin kembali kaku. Terlalu kekok untuknya menggerakkan tubuh. Seumur hidupnya tidak pernah menari.

Gadis itu mula berkisah sambil sekali-sekala menghirup bir. Tentang kedatangan St Patrick membawa agama Kristian ke Ireland. Tentang perayaan yang turut meraikan tradisi orang Ireland. Syahrin tidak dengar semuanya. Suara gadis itu tenggelam timbul dalam sorakan penonton dan gempita kugiran di pentas.

“Itu daun apa?”

“Apa?” gadis itu merapatkan telinganya ke bibir Syahrin. Pemain gitar utama semakin menggila di pentas.

Syahrin menuding jari ke arah topi seorang pemuda yang sedang asyik menari di sebelahnya.

“Oh, shamrock. Kononnya ketika St Patrick mengajarkan konsep triniti kepada orang Ireland dulu, dia gunakan daun itu. Tiga kelopak dari pucuk yang sama,” gadis itu menghabiskan tegukan bir terakhir sebelum membuang tin ke dalam plastik yang dibawa oleh pekerja yang berseragam Dublin City Council.

“Banyak yang kamu tahu ya?”

“Banyak baca, banyak yang tahu,” sekali lagi gadis itu tersenyum. Dagu tirusnya tambah menyerlah.

“Kamu orang sini?”

“Bukan. Saya—”

Penonton bersorak lagi. Kali ini lebih nyaring dan liar.

“Mereka menang,” ujar gadis itu.

“Apa?”

“Tadi penyanyi itu umumkan keputusan perlawanan ragbi. Ireland kalahkan Perancis.”

“Oh,” Syahrin terlongo. Dia terlalu menumpukan perhatian kepada suara gadis itu sehingga persekitarannya lenyap.

“Soalan kamu tadi,” gadis itu menarik zip jaketnya lebih tinggi. Malam makin dingin. Gadis itu mengajak Syahrin kembali ke kaki lima. Tiada gunanya menari andai regu cuma berdiam diri.

“Saya dari Coimbra—”

“Portugal,” Syahrin tersenyum sinis. Tekaannya tersasar.

Mereka serentak melabuhkan punggung di kaki lima. Gadis itu merapatkan tubuhnya lantas mengeluarkan telefon bimbit dari poket jeans.

“Ini abang saya. Dia bekerja di sini. Saya datang melawat saja,” gadis itu menunjukkan gambar di skrin telefon kepada Syahrin.

“Dia tak datang berpesta?”

“Dia doktor. Kerja syif malam.”

Mereka tiba-tiba dirapati seorang wanita separuh abad yang berjaket tebal. Kepalanya tiada rambut walau seurat, tampak dengan balutan skaf tipis. Gadis itu bingkas berdiri lalu memeluk wanita itu. Syahrin terpinga-pinga. Dua wanita di hadapannya kini bertutur dalam bahasa Portugis.

“Saya perlu pulang. Nak temankan ibu. Saya sangkakan dia masih tidur selepas kemoterapi tadi. Tiba-tiba dia terjaga pula dan keluar seorang diri. Katanya bosan sendirian di rumah.”

“Tak apa. Kawan saya pun dah sampai rasanya,” dalih Syahrin. Padahal Redza masih belum menghubunginya.

Gadis itu membuka kalungan di lehernya, bunga plastik dengan rona berturutan hijau-putih-jingga sempena bendera Ireland.

“Ini untuk kamu,” gadis itu mengalungkan bunga plastik ke leher Syahrin. “Terima kasih jaga saya malam ini. Pemuda-pemuda nakal jarang mengganggu kalau gadis ada teman.”

Kemudian pipi Syahrin dikucup.

20 minit berlalu. Redza akhirnya tiba.

“Dapat nombor telefon dia?” Redza menyiku Syahrin sambil sengih sinis selepas mendengar kisah temannya itu.

“Tak.”

“Nama dia apa?”

Syahrin terdiam. Pipinya disentuh perlahan.

Nota kaki: Entri ini pernah dikongsi sebagai status Facebook saya pada 16 Mac 2014

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s