Kispen 151: Jambatan

Mengapa perlu minta maaf? Bukan salah kau. Kau pun sama macam orang lain yang datang ke sini. Cari ilmu. Cari rezeki.

Advertisements

Hampir saban hari Jamal menyeberangi O’Connell Bridge untuk ke tempat kerja. Sambil belajar, dia juga menyungguhi rutin selaku pembikin kopi di Starbucks Coffee.

Pengalamannya sebagai barista hampir dua tahun di Kuala Lumpur dimanfaatkan sepenuhnya. Hanya sepusingan temuduga, pengurus cawangan terus setuju. Dia cekatan benar dengan mesin kopi.

Jamal enggan menurut rusuh kawanan manusia mengejar lampu isyarat laluan pejalan kaki yang sudah bertukar dari hijau ke kuning.

Jam tangannya memberitahu dia masih ada lebih kurang 20 minit sebelum syifnya bermula. Dia melangkah perlahan sambil mengelak, bimbang merempuh atau dirempuh sesiapa.

Di tengah-tengah jambatan itulah, dia terlihat lelaki itu buat kesekian kalinya. Setiap kali Jamal menyeberangi O’Connell Bridge, lelaki itu akan duduk di tempat sama. 

Lelaki itu bersandar di pagar sisi, betul-betul di sebelah plat yang diukir dengan sejarah jambatan itu yang asalnya bernama Carlisle Bridge, sempena Earl of Carlisle kelima, wakil pemerintah empayar diraja British di tanah Ireland beratus-ratus tahun yang lalu.

Lelaki itu sentiasa saja wajahnya seolah dipalit debu dan arang. Rambut perang tua kusut dan semakin tewas dengan uban yang semakin galak menjajah gigi dahi. Tubuh diperisai dari bayu dingin hujung musim sejuk oleh sehelai jaket lusuh, dilapisi dua helai kemeja di bahagian dalam. Seluruh kaki yang dibungkus ketat dengan beg tidur dirapatkan ke dada. Tangan kanan disua ke arah jejal manusia yang jarang sekali memandang simpati, tangan kiri memegang erat sebuah beg galas dengan zip paling atas sedikit terbuka.

“Tolong saya, tolong. Saya tak ambil dadah. Saya cuma mahu makan,” rayu lelaki itu dengan loghat Ireland yang pekat.

Entah sengaja atau tidak, kali ini tangan lelaki itu menyentuh jeans Jamal. Seraya dia berhenti.

“Tolong saya,” lelaki itu masih meminta.

Masih ada masa, bisik hati Jamal sesudah melihat jam tangannya sekali lagi. Dia terus mencangkung di sebelah lelaki itu.

“Pakcik dah lama duduk di sini?” soal Jamal. Bahasa Inggerisnya tidaklah lancar benar. Sekadar tutur asas dengan orang awam, bolehlah.

“Aku sudah tiga tahun hidup di jalanan.”

“Keluarga pakcik macam mana?” serta-merta Jamal melepaskan nafas sesal sesudah soalan itu terbit dari mulutnya. Sudah terlambat.

Lama lelaki itu merenungnya. Sekali-sekala dia merapatkan beg galasnya ke sisi.

“Aku rindu Ashley.”

“Ashley?”

“Kami namakan dia Ashley, kerana dalam bahasa kami Ashley itu maknanya mimpi. Mimpi kami berdua sekian lama, selepas Jamie keguguran tiga kali. Jamie kuat, lebih kuat dari semua manusia yang pernah aku temui.”

“Jamie itu—”

“Isteri aku,” dagu lelaki itu bergetar. “Aku punya wang, punya segalanya. Tapi itu dulu. Sebelum aku hilang semuanya kerana pelaburan yang bodoh. Kerana bank negara ini keluarkan wang sampai kering. Sampai orang baling telur pada lembaga pengarah. Baling apa pun tak guna, sebab aku kena buang kerja. Wang tak ada. Rumah kena tarik dengan bank. Lalu di mana lagi aku mahu hidup?”

“Saya minta maaf.”

“Mengapa perlu minta maaf? Bukan salah kau. Kau pun sama macam orang lain yang datang ke sini. Cari ilmu. Cari rezeki. Aku pun begitu. Cuma aku menadah di tepi jalan.”

Jamal tidak mahu lagi bertanya soalan yang hanya akan melebarkan lagi luka yang sudah terlalu merebak di hati lelaki itu, namun rasa ingin tahu menumpaskan waras.

“Jadi Jamie dan Ashley sekarang—”

“Di sini, mereka di sini!”

Sepantas kilat lelaki itu menyambar beg galas di sisinya lalu dipeluk beg itu erat-erat.

“Di sini, mereka di sini!”

Lelaki itu menampar-nampar dadanya sehingga terbatuk-batuk, sehinggalah Jamal meminta maaf berkali-kali dan memegang tangan lelaki itu.

“Saya faham. Mereka kekal di hati pakcik.”

Ketika itulah lelaki itu menarik perlahan-lahan zip hingga mulut beg galasnya ternganga. Di dalamnya timbunan pakaian kumal. Paling atas, dua buah takar aluminium dengan penutup lutsinar. Terzahir isinya, abu putih kekuningan.

“Ketika aku pulang dari mencari kerja, mereka berpelukan erat di katil. Kata Jamie dalam notanya, dia tidak mahu aku sengsara kerana mereka berdua.”

Jamal menyeluk sakunya. Sekeping nota 20 euro ditemukan seraya diserahkan kepada lelaki itu.

Sambil berdiri perlahan-lahan dan mengucapkan selamat tinggal, Jamal merenung Sungai Liffey yang mengalir lesu di bawah O’Connell Bridge.

Lelaki itu kembali menadah ditemani beg galasnya.

Benarlah kata lelaki itu, ujar hati Jamal.

Mereka di sini. Mereka di sini.

Nota kaki: Entri ini pernah dikongsi sebagai status Facebook saya pada 16 Mac 2014

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s