Saya memeluk Islam tanpa bertemu walau seorang Muslim

Alan Rooney, yang melabel dirinya “warga kulit putih Scotland di pertengahan usia” berkongsi pengalamannya memeluk Islam

Advertisements

[Sumber: The Independent]

Bagaimana seorang lelaki separuh usia, warga kulit putih Scotland yang tinggal di Scottish Highlands akhirnya menjadi seorang Muslim – lebih-lebih lagi apabila dia tidak pernah benar-benar bertemu walau seorang pun Muslim lain sepanjang hayatnya?

Bagi saya, semuanya bermula apabila saya mendengar seruan untuk sembahyang dari sebuah masjid tempatan ketika bercuti di pantai di Turki. Panggilan itu membangkitkan sesuatu dalam diri saya, dan memberi inspirasi agar saya memulakan kembara rohani.

Pulang ke Inverness, saya ke sebuah kedai buku tempatan, membeli sebuah Quran dan mula membaca. Sambil membaca, saya selalu meminta Tuhan agar memberi petunjuk kepada perjalanan saya ini.

Kerap kali berdoa. Kerap kali saya melutut.

Quran benar-benar mengejutkan saya. Satu buku yang amat menggerunkan untuk dibaca kerana buku ini banyak menceritakan tentang diri kamu sendiri. Saya temukan beberapa perkara tentang diri yang tidak disukai. Jadi saya putuskan untuk buat beberapa perubahan.

Saya tahu yang saya boleh berhenti membaca Quran dan menamatkan proses ini bila-bila masa, namun saya juga tahu itu bermakna melepaskan sesuatu yang benar-benar penting.

Dan saya tahu apakah hasil di hujung proses ini: saya akan menjadi seorang Muslim.

Jadi saya teruskan membaca. Saya baca tiga kali untuk mencari muslihat. Namun tiada muslihat: saya agak selesa dengan segala-galanya.

Apa yang sukar dalam semua ini saat terfikir siapakah saya selepas ini. Adakah saya menjadi aneh, berbeza pakaian dan pertuturan pada mata orang lain?

Apa yang akan difikir oleh keluarga, teman, dan rakan sekerja saya?

Paling penting, apa yang saya sendiri fikir tentang diri? Adakah saya bakal menyukai diri yang baru?

Saya menghabiskan masa atas talian dengan mencari individu yang melalui pengalaman yang sama. Tidak ada yang sama dengan saya – setiap kembara pastinya unik. Namun saya gembira selepas mengetahui ramai yang memilih jalan serupa. Pendek kata, inilah sumber rujukan saya setiap kali terasa gusar atau terasing.

Sumber atas talian amat baik untuk mencari cara berdoa dalam bahasa Arab, mendengar bacaan Quran dengan jelas atau mendengar muzik Islam. Bagi saya, muzik satu cara yang baik untuk mengenali beberapa frasa yang ingin digunakan.

Kunci kepada semua ini sebenarnya, saya persoalkan semua perkara – ini penting dalam penukaran agama. Saya tanya diri sendiri. Saya persoalkan apa yang saya dengar dan baca.

Andai ada sesuatu yang dirasakan janggal, itu petunjuk jelas bahawa perkara itu bukan untuk kamu. Kamu perlu dengarkan firasat dan kata hati.

Proses ini saya kerjakan selama 18 bulan. Ada orang lebih singkat, ada yang lebih lama. Saya lakukan semua ini sendirian tanpa ada bantuan. Saya masih belum bertemu mana-mana muslim.

Selepas tempoh 18 bulan, saya anggap diri saya seorang Muslim. Saya solat lima waktu sehari semalam, puasa pada Ramadan, dan makan minum berdasarkan ajaran Quran.

Hanya selepas itu barulah saya mendapat tahu ada sebuah masjid kecil di bandar saya. Saya singgah, ketuk pintu, dan memperkenalkan diri.

Mereka terkejut pada mulanya dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan selain memberi kod pintu masuk masjid dan mengalu-alukan saya dalam komuniti itu. Saya diterima sejak mula dan masih bersama dengan komuniti itu.

Sudah pasti ada banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari.

Apa itu Islam – dan bagaimanakah kamu membezakan agama itu dengan budaya seseorang? Amat penting untuk dijelaskan bahawa yang perlu diterima itu Islam, bukannya budaya tertentu dari seluruh pelusuk dunia. Kamu sentiasa bebas menentukan identiti asalkan mengikut ajaran yang tertulis dalam Quran.

Jadi sekarang saya lelaki pertengahan umur, warga kulit putih Scotland yang beragama Islam. Dan saya gembira.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s