Gadis nasi lemak dan lagu

Pelayan gerai menghampiri saya yang baru mengambil tempat. Gadis Indonesia yang wajahnya ada sedikit mirip Dessy Ratnasari.

Advertisements

Sambil menunggu pemeriksaan rutin kandungan isteri di klinik selesai, saya keluar mendapatkan sarapan.

Saya ke sebuah gerai sarapan yang pernah disinggahi sebelum ini. Kali ini gerai tidak terlalu sesak. Hanya ada dua meja yang terisi.

Satu meja dihuni lelaki separuh abad yang leka menyedut rokok. Setiap kali saya singgah, dia pasti ada. Pelanggan tetap atau mungkin pemilik gerai.

Satu meja lagi dipilih oleh tiga lelaki sekitar 40-an. Dua orang berkemeja lengan pendek. Seorang lagi berkemeja-T dengan lingkar besi tebal di pergelangan tangan. Tiga vape mod berdiri teguh di sebelah pinggan masing-masing yang hampir kosong.

“Makan apa, bang?” 

Pelayan gerai menghampiri saya yang baru mengambil tempat. Gadis Indonesia yang wajahnya ada sedikit mirip Dessy Ratnasari. Beberapa minggu lalu, saya terdengar dia bertutur dalam dialek Kelantan kepada seorang pelanggan yang singgah membeli dua bungkus laksam.

“Nasi lemak kerang ada?” soalan saya disambut anggukan.

Saya pesan juga teh o panas.

Sambil saya menunggu hidangan tiba, tiga lelaki itu tidak habis-habis mengusik gadis pelayan. Kesemuanya disambut dengan senyum dan jawapan ‘ya bang’.

Kemudian salah seorang dari trio itu bersuara. Lelaki gempal bergelang besi.

“Bik, saya sunyilah. Ada lagu tak? Bik nyanyi pun boleh. Pasanglah lagu.”

“Tak ada bang,” balas gadis pelayan yang sibuk membungkus nasi lemak untuk dua pelanggan yang menunggu di dalam kenderaan di pinggir jalan.

“Pasanglah lagu, bik. Lagu Arab ke. Sunyilah.”

Usikan itu tidak bersambut. Saya teruskan menjamah nasi lemak dan sambal kerang yang sudah mesra bersatu di pinggan.

Ketika itulah saya mendengar bunyian dari meja kecil merangkap kaunter pembayaran gerai.

Gadis pelayan itu memasang bacaan Al-Quran dari telefon bimbitnya yang disandar pada botol mineral besar yang telah dikerat separuh untuk dijadikan bekas mengisi gelang getah.

Tiga lelaki itu tergamam. Tidak ada lagi usikan selepas itu.

Dan lelaki separuh abad di meja paling hujung masih lagi asyik menyedut rokok. Dia memejam mata dan terangguk-angguk perlahan.

Mungkin, mungkin saja di hujung bibirnya terlukis senyum paling seni.

Nota kaki: Gambar di atas ihsan Google. Saya tidak sempat merakam foto nasi lemak saya yang terlalu pantas berpindah dari pinggan ke perut.

2 thoughts on “Gadis nasi lemak dan lagu”

  1. Kalau ditanya saya blog penulisan melayu paling ‘best’ saya hampir tak ada jawapan. Yang saya tahu umairah shafei, kenalan lama yang tak pernah bersua muka. Dari situlah juga saya temukan link ke blog ini. Senang cerita, pantas sahaja jari menekan ‘continue reading’. 🙂

    Like

  2. Beliau, nizam bakeri, tulisan nya dalam Pecah, bikin saya terus jatuh cinta dengan tulisannya. Buku Fixi saya yg pertama. tatkala rindu pada susun aksara beliau. twitter dan blog beliau saya singgah. indah. suka pd kispen & hanya sepuluh.

    Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s