Siapa perlu ganja andai media sosial sudah ada?

Kebanyakan penagih media sosial akan menafikan sama sekali ketagihan ini. Bagi mereka, berhimpun dengan teman sambil masing-masing merenung skrin telefon tanpa sebarang bicara merupakan gaya hidup normal.

Advertisements

Cadangan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Syed Rosli Jamalullail agar penggunaan ganja dibenarkan untuk rakyat ‘melupakan’ beban kos sara hidup menarik perhatian saya.

Sebenarnya, tanpa ganja sekalipun kita sudah ada ketagihan yang sentiasa dinikmati saat hati kita mendongkol geram dengan harga nasi lemak yang semakin mahal atau ketika poket sudah kering walau gaji diterima belum berusia seminggu.

Kita sebenarnya sudah lama dicandu media sosial.

Ketagihan media sosial bukan penyakit olok-olok

Pasti ramai yang pernah memasang azam sebegini:

“Aku mahu puasa Facebook tiga hari.”

“Hari ini aku tidak mahu baca timeline Twitter.”

“Aku tak akan semak Instagram minggu ini.”

Namun kita tahu cara azam ini berakhir. Selepas sehari dua, mata kembali menjeling puluhan bahkan ratusan notifikasi di skrin telefon pintar, kesemuanya merayu agar dibaca. Akhirnya kita tewas.

Ketagihan sebegini dikongsi ramai. Kajian Cornell University pada hujung tahun 2015 menggelarkan fenomena ini sebagai FOMO, akronim bagi ‘fear of missing out’. Semua orang berkongsi khabar di Facebook – berita kahwin, foto stereng kereta baharu, video bayi merangkak, jerit amarah pada jiran – mana mungkin kita mahu terlepas?

Tinjauan Pengguna Mudah Alih Global 2015 kendalian Deloitte mendapati lebih 80 peratus pengguna media sosial di Indonesia dan Filipina selesai menyemak telefon pintar dalam 15 minit pertama selepas bangun tidur. Saya pasti Malaysia tidak jauh ketinggalan.

Media sosial direka agar ditagih

Salah seorang jurutera aplikasi Instagram, Greg Hochmuth menggunakan istilah network effect atau kesan jaringan yang menyebabkan generasi muda kini mampu melayari ‘IG’ berjam-jam lamanya.

Menurut Hochmuth, Instagram sengaja direka agar pengguna menikmati aliran foto tanpa henti. Tanpa disedari, hashtag demi hashtag diakses dan psikologi pengguna dirangsang seolah-olah mereka sedang ‘mengintai’ atau ‘menyiasat’ lambakan foto tersebut.

Angka pada notifikasi juga merupakan helah media sosial yang licik. Angka 11 yang terpapar pada Facebook misalnya, seolah-olah berbisik kepada anda:

“Ada 11 perkara yang kamu ingin tahu. Tapi kamu perlu klik/sentuh nombor ini untuk tahu.”

Bisikan sebegini sukar diabaikan. Taktik ini juga digunakan dalam tajuk clickbait atau umpan klik seperti ‘11 perkara yang anda terlepas semasa Grammys 2016’ atau ‘Anda tidak akan percaya apa yang Justin Bieber kongsi di Instagram hari ini.’

YouTube juga tidak ketinggalan dalam mempermainkan kita semua. Sudah terlalu ramai pengunjung yang ‘hanya mahu menonton satu video’ namun akhirnya menghabiskan masa berjam-jam menonton episod demi episod rancangan bual bicara Ellen DeGeneres atau video muzik penyanyi pujaan.

Kebanyakan saluran video popular di YouTube seperti PewDiePie yang mempunyai lebih 42 juta langganan dan Smosh (21 juta) menyiarkan video jenaka yang dibintangi oleh pemilik saluran yang ‘berbual’ dengan penonton. Ilusi komunikasi dan hubungan dua hala ini menyebabkan pengguna terus ketagih dan kadangkala terputus hubungan dengan dunia luar.

Ketagihan tanpa penawar?

Kebanyakan penagih media sosial akan menafikan sama sekali ketagihan ini. Bagi mereka, berhimpun dengan teman sambil masing-masing merenung skrin telefon tanpa sebarang bicara merupakan gaya hidup normal.

Masing-masing menyimpul senyum apabila ada berita lucu yang dikongsi di kumpulan Whatsapp dan gelak tawa paling lantang cuma diwakili abjad LOL yang digandakan mengikut tahap kelucuan.

Namun sekali-sekala ada baiknya kita menjalani penyahtoksikan agar kembali sedar bahawa dunia ini lebih dari sekadar skrin telefon bimbit. Ada beberapa cara yang ingin saya kongsi:

Jadualkan penggunaan media sosial

Andai ketagihan anda kritikal dan mustahil untuk berpuasa sepenuhnya dari media sosial, ini pilihan yang boleh mengurangkan gigil tangan yang tidak memegang telefon pintar.

Misalnya, muat naik foto di Instagram pada hujung minggu sahaja. Layari Twitter satu jam sebelum makan malam. Bentuk jadual terpulang kepada gaya hidup anda, asalkan ada rutin yang mampu dipatuhi.

Pelbagaikan akaun media sosial

Cadangan ini kelihatan ironi dengan ide nyahtoksik media sosial namun kajian Cornell University yang saya petik sebelum ini turut menyatakan ketagihan Facebook juga disebabkan pengguna tidak mempunyai alternatif lain.

Sertai pelbagai laman media sosial. Lama-kelamaan, anda akan mula penat terkejar-kejar menguruskan semua akaun pada masa yang sama. Tumpuan anda terhadap media sosial akan perlahan susut. Namun berhati-hati agar tidak dilanda ketagihan berganda.

Sertai aktiviti yang memerlukan tumpuan tinggi

Kajian Microsoft Canada pada tahun 2015 mendapati manusia hanya mampu mengekalkan daya tumpuan selama lapan saat. Jika anda sudah sampai ke bahagian ini, daya tumpuan anda nyata sekali tinggi kerana tidak berhenti membaca artikel ini selepas lapan saat.

Menonton wayang, membaca buku kegemaran, dan menyertai aktiviti lasak merupakan antara contoh aktiviti yang akan mengalihkan tumpuan anda dari media sosial buat seketika. Syaratnya, jangan pula anda sibuk merakam ratusan selfie walhal masih berada di kaki bukit yang menanti didaki.

Nyahaktif akaun untuk tempoh tertentu

Ini langkah paling ekstrem namun saya mengenali beberapa individu yang berjaya dengan teknik ini. Kuatkan azam dan pilih tempoh tertentu (biasanya tiga hinggu tujuh hari) untuk menyahaktif akaun Facebook atau Twitter anda.

Ada juga yang memilih pasangan atau sesiapa yang benar-benar dipercayai untuk menukar kata laluan akaun media sosial. Jalan pintas juga boleh diambil dengan menyahpasang atau uninstall aplikasi media sosial di telefon.

Kesimpulan

Zaman kini, media sosial sememangnya satu keperluan. Manusia seolah-olah telah mencipta alam alternatif di Facebook dengan para penduduknya bertegur sapa dengan komen dan like, berbual (dan kadangkala mengumpat) dengan share dan Messenger.

Bagi penyokong ganja, saya tidak mahu campur tangan dengan keputusan anda. Cuma bagi saya, andai tertekan atau kusut hati, saya lebih rela dicandu video kucing yang mengejar cahaya laser yang dipancar rawak ke dinding atau membaca tweet parodi sepanjang hari.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s