Siapakah Eleanor Rigby dalam lagu The Beatles?

Hunter Davies menyingkap rahsia persona bernama Eleanor Rigby dalam lagu kugiran tersohor dunia, The Beatles.

Advertisements

[Sumber: Slate]

Saya perlu berterima kasih kepada Eleanor Rigby kerana dengan lagu itulah saya dapat benar-benar bertemu dengan Paul McCartney. Apabila lagu itu pertama kali ke udara, sebagai single dan pada album Revolver, saya begitu kagum dengan lirik dan iramanya sehingga saya memasang azam untuk berbincang dengan Paul tentangnya. Saya fikir, seperti semua peminat Beatles yang lain, pastilah dia yang menggubah lagu kerana dia yang menyanyi.

Sebagai wartawan dan pengarang kolum Sunday Times, saya mempunyai peluang yang lebih cerah berbanding peminat lain untuk bertemunya, tetapi andai dia menggubah lagu itu dua tahun lebih awal peluang saya lenyap kerana ketika itu Sunday Times tidak pernah menulis tentang artis pop sekalipun dia berjaya.

Menjelang tahun 1966, golongan kelas menengah sudah mula kagum dengan Beatles dan bagaimana mereka mencipta muzik hebat walau tidak mampu membaca atau menulis nota muzik juga kebolehan mereka mengarang rangkap lirik indah tanpa pendidikan universiti yang baik.

Jadi saya bertemu dengan Paul di Cavendish Avenue, St. John’s Wood, London – yang masih menjadi miliknya sehingga hari ini. Saya masih ingat rumah itu selesa untuk didiami walau dia tidak tinggal lama di situ, dengan himpunan objek dan lukisan menarik. (Ada karya Magritte tergantung di atas pendiang api di ruang tamu utama.)

Tamannya, dari apa yang saya lihat, kelihatan terbiar seperti masih menunggu apa yang ingin dia kerjakan. Taman itu menambah rasa bohemia pada tempat itu; sebuah rumah milik sang bujang kaya dan artistik. Tidak ada tanda Jane Asher tinggal di situ, lagipun ketika itu dia masih lagi penting dalam hidup Paul. Dalam artikel, saya katakan yang dia tinggal bersendirian.

Temubual dijalankan mengikut format ketika itu, biarkan subjek berbicara dengan celahan minimum, tapi saya sempat menyelitkan pendapat saya tentang Eleanor Rigby. Kalau anda sedar, saya bahasakan mereka sebagai Encik McCartney dan Encik Lennon. Adakah saya bermuka-muka memandangkan status mereka sebagai bintang pop remaja? Tidak, saya cuma berlaku sopan dan formal, begitu kebiasaannya pada tahun 1966.

The Sunday Times, London, 18 September 1966

Paul McCartney berada di rumah agamnya di St John’s Wood. Dia tinggal sendirian. Dia dijaga oleh Encik dan Puan Kelly. Mereka bukanlah formal seperti pembantu rumah dan pemandu. Tugas mereka, menurutnya, hanyalah untuk menyesuaikan diri.

Encik McCartney, bersama dengan Encik Lennon merupakan penggubah lagu berjudul Eleanor Rigby. Tidak ada lagu pop mas kini yang mampu menandingi keindahan lirik dan iramanya.

“Saya duduk di samping piano ketika terfikir tentang lagu itu. Sama seperti Jimmy Durante. Beberapa bar pertama terus muncul. Dalam kepala saya ada satu nama – Daisy Hawkins, picks up the rice in the church where a wedding has been. Saya tidak tahu kenapa.

“Saya tidak boleh fikir sambung lagi, jadi saya abaikan dulu untuk beberapa hari. Kemudian nama Father McCartney muncul di fikiran saya – and all the lonely people. Tapi saya terfikir nanti pendengar akan anggap itu ayah saya, duduk mengait stokinnya. Ayah memang gembira begitu. Jadi saya belek buku telefon dan jumpa buku McKenzie.

“Ketika di Bristol, saya rasa Daisy Hawkins bukan nama yang baik. Saya berjalan-jalan melihat kedai dan ternampak nama Rigby. Nampak tak? Kita sorot Bristol seketika. Saya memang nampak semua ini sebagai muzikal Hollywood.

“Kemudian saya ke rumah John di Weybridge. Kami lepak, ketawa, khayal dan siapkan lagu itu. Saya cuba fikir hujungnya, tapi George Martin yang selesaikan. Saya cuma menghentam mata piano. Dia tahu apa yang saya maksudkan.

“Semua lagu kami datang dari imaginasi. Eleanor Rigby tidak pernah wujud. Salah seorang daripada kami akan satu lagu penuh, dan yang lain akan tambah sikit-sikit. Atau kami bergilir-gilir tulis baris demi baris. Kami tidak pernah berbalah. Kalau ada yang kata dia tidak suka, yang lain akan setuju. Kami tak fikir sangat. Yang lebih penting bagi saya ialah menjadi penggubah lagu. Tapi saya tidaklah terlalu sayang dan fikir sangat tentang setiap lagu.”

Tahun demi tahun berlalu, kini kita lebih tahu tentang latar belakang lagu ini. Atau kita fikir kita tahu. Paul telah mengesahkan nama Eleanor datang dari pelakon Eleanor Bron (foto) yang muncul dalam filem Help! Rakan baik John, Pete Shotton, berada di rumah John ketika Paul tiba dengan nada yang telah siap namun separuh lirik masih belum lengkap. Dia persembahkan lagu itu pada John, George, Ringo dan Pete, semuanya memberi cadangan masing-masing.

 

Apabila nama Father McCartney digugurkan – atas sebab yang Paul beritahu saya – Pete Shotton mengambil buku panduan telefon dan menjumpai nama McKenzie. Ringo yang cadangkan dia sedang mengait stokin. George tampil dengan baris all the lonely people. Paul buntu mencari penututp, dan menurut Pete dia yang mencadangkan dua karakter itu dipertemukan: Eleanor, dara tua nan sunyi, dan Father McKenzie, paderi yang sedih.

Sungguh luar biasa lirik yang digembleng dari sumbangan ramai orang akhirnya muncul sempurna – tiada baris yang dibazirkan, tidak ada kata yang sumbang, tidak ada bayangan yang memualkan.

Lirik itu diiring ringkas – string octet yang disusun oleh George martin tanpa sebarang dram atau gitar – yang menambahkan lagi rasa merdu yang aneh nan ghaib dalam karya itu.

Analisis paling panjang dan mapan yang pernah saya baca tentang lirik lagu ini merupakan esei 29 ribu perkataan yang belum diterbitkan oleh Profesor Colin Campbell dari York University.

Menurut Campbell, ini satu-satunya lagu Beatles yang mempunyai cerita yang mempunyai garis masa dan unik kerana mengandungi dua karakter yang pada awalnya diceritakan berasingan namun dipertemukan.

Ini juga merupakan lagu pertama mereka yang menggunakan nama individu (tapi sekejap sahaja kerana Dr Robert dirakamkan 10 hari selepas itu), dan lagu pertama yang tidak mengandungi perkataan I, me, mine, you, atau your. Ini lagu orang ketiga – tidak ditujukan kepada sesiapa, seperti You’ve Got to Hide Your Love Away.

Tapi ada banyak lagi perkara yang kita tidak tahu. Eleanor, mengutip nasi sesudah majlis perkahwinan: adakah dia tukang cuci, tetamu majlis, atau hadir tanpa undangan? Kemudian kita diperkenalkan dengan Father McKenzie, seorang lagi manusia sunyi, menulis khutbah yang tidak didengari sesiapa. Kenapa tidak? Adakah dia sudah bersara, atau anggota kariah meninggalkannya?

Mereka bertemu apabila Eleanor meninggal dunia. She died in the church: adakah ini mengesahkan dia tukang cuci, mati ketika bertugas, atau hanya bermakna dia merupakan ahli kariah gereja itu? Father McKenzie meninggalkan pusara itu, barangkali satu-satunya pengunjung majlis pengebumian, dan menyapu tanah dari tangannya.

Eleanor “buried along with her name” : bagi saya ini menunjukkan dia tidak berkahwin, tiada keluarga, dan tidak melakukan apa-apa dalam hidupnya, dia bukan sesiapa – namun ada yang berpendapat dia membunuh diri.

Novelis A.S. Byatt, dalam rancangan bual bicara BBC yang disiarkan pada tahun 1993, menjelaskan frasa wearing a face that she keeps in a jar by the door. Andai wajahnya disimpan pada cermin, pasti kita segera terfikir tentang solekan (wanita sering merujuk diri mereka putting on their face sebelum keluar), tapi perkataan cermin tidak digunakan, jadi imej dalam lirik ini lebih luas, lebih berkias.

Dia merenung di jendela, menunjukkan wajah bahawa dia bukan sesiapa, dia tidak dilihat sesiapa, dia tidak dikenali sesiapa. Dia sememangnya seorang manusia sunyi. Apabila dia keluar meninjau dunia, dia bersembunyi di sebalik topeng wajahnya, agar kekal tidak dikenali.

Nota: Artikel ini merupakan petikan buku Hunter Davies yang berjudul The Beatles Lyrics: The Story Behind The Music, Including The Handwritten Drafts of More Than 100 Classic Beatles Songs.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s