Khutbah Jumaat perlu anjal

Sekadar pendapat saya nan jahil, betapa khutbah Jumaat di masjid tempatan perlu perubahan.

Advertisements

Minggu lalu, saya menunaikan solat Jumaat di lokasi lazim, surau Pudu Sentral. Paling hampir dengan pejabat.

Sambil mendengar khutbah, saya tiba-tiba teringat imam masjid yang paling hampir dengan kampung saya, Masjid Yaakubiah di Bukit Baka.

Namanya Lutfi, tapi kami semua panggil dia Haji Pi. Dia pernah jadi calon PAS bagi DUN Kemuning pada Pilihan Raya Umum 2008.

Namun bukan itu kisahnya. Saya teringat Haji Pi kerana khutbah. 

Seingat saya, dia jarang sekali membaca khutbah yang telah disediakan oleh pihak majlis agama. Kalau ada, dia cuma petik isi dan kemudian ulas sendiri. Masjid Yaakubiah memang terkenal dengan khutbah panjang Haji Pi.

Adatlah, di mana-mana masjid sekalipun akan ada ahli jemaah yang tersengguk menahan lena ketika khutbah. Saya juga pernah (dan kadangkala masih) begitu. Namun di Masjid Yaakubiah, sukar untuk anda menemukan ahli jemaah yang lena sewaktu Haji Pi berkhutbah.

Khutbahnya disampaikan dalam dialek Kelantan, dan kebanyakannya berkisar tentang isu anak mukim. Dia berpesan agar sentiasa menambat lembu agar tidak terlepas lalu menceroboh kebun orang. Dia selalu mengingatkan para bapa tentang anak gadis yang sering dilihat berpakaian sendat sambil membonceng motosikal yang laju melintas di hadapan masjid.

Isu-isu rinci dan dekat dengan ahli jemaah inilah yang menyebabkan mereka tidak ditewaskan kantuk dan ralit mendengar sehingga hujung khutbah. Kerana jauh di sudut hati, mereka tahu Haji Pi peduli. Mereka tahu setiap butir kata khatib itu benar-benar ditujukan kepada mereka dan bukannya dikarang oleh orang yang tidak pernah mereka kenali.

Saya fikir sudah tiba masanya keseragaman khutbah mengikut majlis agama dinilai semula. Saya yakin para khatib merupakan imam bertauliah. Mereka ada kemampuan untuk mengarang dan menyampaikan pesan mingguan yang lebih tepat dengan keperluan anak mukim.

Khutbah majlis agama juga perlu diringkaskan bahasa dan mesejnya. Saya pernah mendengar khutbah di sebuah masjid di kawasan pedalaman yang menggunakan frasa¬†seperti “menyambung aspirasi dan jati diri.”

Wahai para pengarang khutbah yang alim lagi bijaksana, saya fikir Pak Teh Janggut atau Mat Lazim Kerbau tidak peduli tentang aspirasi. Mereka tidak faham pun “pemangkin” atau “swadaya”. Gunakan perkataan yang mudah difahami. Khutbah untuk mengisi hati, bukannya pertandingan mengarang esei untuk kepuasan diri.

Saya minta maaf andai entri ini mengguris sesiapa. Saya cuma mahu khutbah dilihat lebih realistik dan relevan setiap kali disampaikan pada hari Jumaat. Supaya ahli jemaah rasa lebih peduli dan khutbah itu hidup. Itu sahaja.

Atau mungkin saya rindu dengan Haji Pi. Dan kampung halaman, yang sudah lama tidak dikunjungi.

 

One thought on “Khutbah Jumaat perlu anjal”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s