Nonfiksyen, Pandangan

Benarkah novel Pantai Kasih lucah?

 

Saya tertarik dengan respon masyarakat yang tersebar luas di Facebook tentang kandungan novel Pantai Kasih yang dikatakan lucah dan tidak sesuai dijadikan teks bacaan murid sekolah menengah.

Sebelum saya bergebang lebih lanjut, apa kata kita baca terlebih dahulu perenggan yang dikatakan ‘lucah’ dan ‘tidak sesuai’ itu:

Bagaikan tifdak dapat ditangguhkan lagi, Doktor Sadiz sudah tidak mampu mengawal nafsunya. Raiha sudah menjadi mangsa kerakusannya. Tanpa sebarang perencanaan dan tanpa kerelaan Raiha, terlucutlah sel daripada genetik ‘istimewa’ milik Doktor Sadiz ke dalam badan Raiha. Sel ‘istimewa’ itu pula langsung berenang untuk menemui dan bersenyawa dengan ovum yang sihat lagi subur di dalam rahim Raiha. Lalu terhasillah zigot yang berubah sesuai dengan proses pembesaran, dari bulan ke bulan. Proses pembesaran yang berlaku di dalam perut Raiha.

Tanyakan diri anda, adakah perenggan ini lucah?

Jawab dalam hati, dan simpan jawapan anda. Selepas selesai membaca entri ini, jawab soalan di atas sekali lagi.

Dalam zaman viral ini, manusia sudah terlalu malas untuk berfikir, jauh sekali membaca. Yang penting, kegopohan berlumba-lumba menaip komen dalam menonjolkan pendirian dan kemuliaan diri yang sebenarnya tidak dipedulikan sesiapa melainkan bilangan like yang tidak laku andai dihulur di gerai pisang goreng mahupun kedai kopi mahal.

Jadi apa salahnya kita berhenti, berfikir, dan menilai beberapa perkara dalam isu ini.

1 Siapakah penulis novel ini?

Pantai Kasih dikarang oleh Azmah Nordin. Beliau merupakan penulis prolifik. Lebih 40 novel dan 50 cerpen beliau telah diterbitkan.

Azmah juga telah memenangi lebih 20 hadiah sastera, termasuk S.E.A. Write Award pada tahun 2009. Anugerah sastera berprestij Asia Tenggara ini pernah diterima oleh nama-nama besar dunia penulisan seperti Muhammad Haji Salleh (Sasterawan Negara 1991) dan Zurinah Hassan (Sasterawan Negara 2015).

Jadi, kita sudah tahu bahawa penulis ini bukanlah budak hingusan yang berangan-angan di hadapan gambar kekasih dan mula mengarang untuk majalah sekolah.

2 Apakah latar belakang novel ini?

Novel ini pertama kali diterbitkan oleh Fajar Bakti pada tahun 1994. Jadi sudah tentu novel ini tidak meniru Grey’s Anatomy (musim pertama: 2005) seperti yang didakwa beberapa pengguna Facebook. Mungkin lebih tepat jika disinonimkan dengan drama General Hospital yang muncul di kaca televisyen sejak 1963.

(Amaran: Perenggan ini mengandungi spoiler) Saya tidak mahu cerita panjang sebab ini bukan ulasan buku. Secara ringkas, cerita ini mengisahkan Raiha, Uwang, dan Felicia yang masih trauma selepas melihat Ayu meninggal dunia ketika terperangkap dalam kereta yang dibakar oleh Sadiz (bapa Ayu, bekas suami Raiha). Yang lain subplot saja. Nak tahu, baca sendiri.

3 Benarkah novel ini novel cinta doktor yang memualkan?

Selera sifatnya subjektif. Ada orang boleh baca novel Cintaku Pak Guard Sado setiap hari, ada orang mencapai kepuasan maksimum selepas menekuni War and Peace karya Tolstoy.

Saya pun pernah karang novel. Tapi novel jalanan sajalah. Sekali-sekala saya jenguk juga ulasan pembaca. Ada juga yang maki hamun. Tetapi tidak pula saya lari membawa diri dan mengongoi tanpa henti.

Selera itu subjektif.

Sebagai pembaca, Pantai Kasih tidak sepadan dengan selera saya. Namun ini tidak pula bermakna novel ini kualitinya rendah.

Hubungan cinta sesama doktor atau dengan jururawat sebenarnya tidak menjadi tumpuan dalam novel ini. Ya, jangan terkejut. Lain kali baca dulu. Jangan cepat sangat melolong di ruang komen Facebook.

Watak utama, Raiha misalnya bertarung dengan pengalaman pahit tentang perkahwinannya dengan Sadiz yang tidak kekal lama kerana anak kurang upaya. Raiha juga berhadapan dengan dilema perubatan dalam kes pesakitnya, Unong Siron yang telah dibedah lima kali namun komplikasi tulangnya tidak selesai.

Doktor Uwang pula dimusnahkan oleh ketamakan sendiri sebagai pemilik hospital swasta yang mengutamakan keuntungan berbanding kebajikan pesakit.

Felicia pula dibelenggu resah kerana tidak menggemari kerjayanya sendiri sebagai jururawat di samping bergelut dengan masalah ketagihan ubat batuk yang dicuri dari farmasi hospital.

Jadi jawapan untuk soalan ketiga mudah sahaja: Tidak.

4 Adakah perenggan tersebut lucah?

Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan lucah sebagai: hina, keji, sangat rendah, tidak senonoh, tidak sopan.

Oxford Dictionaries menafsirkan obscene sebagai offensive or disgusting by accepted standards of morality and decency.

Di sinilah sukarnya menjawab soalan yang menjadi tajuk entri ini. Adakah perenggan pada halaman 56 novel yang kini viral, boleh dianggap lucah?

Apakah ‘tanda aras moral dan kesopanan yang diterima’ dalam kalangan masyarakat?

Saya mahu menjawab soalan ini dengan sukatan mata pelajaran Sains, Tingkatan 3. Kalau tidak silap saya, ada satu bab namanya Pembiakan.

Ketika entri ini dikarang, saya tidak sempat mendapatkan buku teks Sains Tingkatan 3 namun saya sempat buat carian Internet tentang nota yang dikongsi oleh para guru subjek berkenaan.

Pembiakan manusia diterangkan begini (saya telah ringkaskan):

Semasa pengovulan, ovari melepaskan ovum ke dalam tiub falopio. Semasa ejakulasi, zakar memancutkan sperma ke dalam faraj … nukleus sperma akan bercantum dengan ovum membentuk zigot.

Jadi apakah bezanya dengan perenggan dalam Pantai Kasih?

Bezanya, pada dua ayat permulaan yang menggunakan perkataan nafsu dan rakus. Ini serta-merta memberi bayangan kepada pengguna Facebook bahawa novel ini, mengikut definisi lucah: hina, keji, dan tidak senonoh.

Tahukah anda apakah adegan penuh bagi perenggan tersebut? Sudah tentu tidak.

Saya sanggup mempertaruhkan kesemua sepuluh jari saya untuk dipotong, bahawa 99 peratus pengguna Facebook yang menyelar Pantai Kasih, penulis, bahkan kerajaan – tidak pernah membaca novel ini dari awal hingga akhir.

Adegan yang diterangkan sebenarnya merupakan bayangan trauma dan imbas kembali yang dialami Raiha ketika memasuki lif. Dia kembali membayangkan bekas suaminya, Sadiz, saat anaknya mula terbentuk di dalam rahim yang akhirnya dilahirkan cacat dan dibunuh suaminya sendiri dengan membakar kereta.

Now read that paragraph again with the real context in mind. Doesn’t sound obscene anymore, does it?

Kesimpulan

Sebab utama majoriti pengguna Facebook menghentam novel Pantai Kasih dan penulisnya sehingga melabel novel ini sebagai ‘novel lucah’ kerana mereka gopoh memberi komentar hanya kerana satu perenggan yang viral di Internet.

Tabiat jelik ini memang sukar dihentikan. Sebab zaman ini serba pantas dan kita tidak boleh ketinggalan.

Belum sempat malaikat mencatat dosa, kita sudah menghumban manusia ke neraka.

Saya setuju dengan cadangan sesetengah pihak agar kerajaan lebih teliti dalam memilih bahan bacaan untuk sukatan pelajaran. Ada beratus bahkan beribu lagi novel tempatan yang bebas adegan ‘lucah’ yang amat digeruni masyarakat ini.

Namun ini tidak membatalkan kegelojohan kalian yang awal-awal lagi memusnahkan reputasi novel itu, malah penulisnya.

Saya ada terfikir untuk membincangkan juga konteks tanggungjawab moral seorang penulis dalam entri ini, namun saya tangguhkan kerana berjela-jela nanti jadinya. Mungkin saya boleh tulis dalam satu entri lain.

Perenggan terakhir ini pun, barangkali hanya dibaca oleh saya, kerana pengguna Internet sudah berhenti di perenggan keempat dan kembali ke Facebook untuk mencari pendosa seterusnya yang bakal dihumban ke neraka.

 

Standard

Tinggalkan komen